ISKANDAR PUTERI - Pelantikan Marina Ibrahim sebagai pegawai khas bagi membantu menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di Johor di Yayasan Sultan Ibrahim Johor bukan lantikan politik.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu berkata, tanggungjawab berkenaan diterima dengan penuh rasa rendah diri dan menyifatkannya sebagai amanah besar untuk memastikan kebajikan serta kepentingan masyarakat Orang Asli di negeri ini terus diberi perhatian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Karnival Sukan Orang Ali Peringkat Kebangsaan di Stadium Educity di sini pada Ahad.
Sebelum itu, pada acara berkenaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan Marina Ibrahim sebagai Pegawai Khas bagi masyarakat Orang Asli di bawah Yayasan Sultan Ibrahim Johor.
Sementara itu, Marina menegaskan, pelantikan berkenaan tidak seharusnya dilihat dari sudut politik kerana tanggungjawab yang diberikan lebih menjurus kepada usaha membantu memperkasakan kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Jawatan ini bukannya satu lantikan politik, sebaliknya atas perkenan Sultan Johor.
“Saya sendiri pun bukan berada mana-mana parti politik buat masa ini," ujarnya.
Marina berkata, amanah berkenaan akan digalas menerusi kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan kerajaan negeri bagi memastikan setiap permasalahan yang dihadapi masyarakat Orang Asli dapat ditangani.
“Kita tidak bergerak sendiri tetapi akan bergerak seiring dengan agensi kerajaan di negeri Johor, Exco dan juga kerajaan negeri Johor untuk memastikan kebajikan Orang Asli di Johor dapat dipertingkatkan.
“Kita mahu sama-sama menjaga kebajikan mereka dan memastikan setiap isu yang timbul dapat dicari jalan penyelesaian,” katanya.
Sebelum ini, Marina pernah berkhidmat sebagai ADUN Skudai sejak Mac 2022 selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dengan majoriti 13,943 undi.
Beliau sebelum itu aktif dalam DAP sejak 2017 dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kulai pada 2018.
Pada Mei lalu, Marina mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan dan memilih untuk berundur daripada arena politik bagi memberi tumpuan kepada kerja kemasyarakatan.