ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan atau menamakan calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO menjelaskan, perkara berkenaan belum perlu dibincangkan memandangkan tarikh pembubaran Parlimen dan PRU16 masih belum diketahui.
“Ini sebab pilihan raya mungkin masih jauh atau mungkin. Kita tidak tahu bila Parlimen dibubarkan. Saya fikir elok kita ketepikan soal itu dululah dan tumpukan kepada menghadapi pilihan raya di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Stadium EduCity di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu yang dilaporkan mengakui parti itu mempunyai calon Perdana Menteri daripada Pas untuk menghadapi PRU16.
Bagaimanapun, Pas belum bersedia mendedahkan individu berkenaan kerana penentuan calon Perdana Menteri hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding pada PRU16.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebarang perbincangan berkaitan calon Perdana Menteri bagi kerajaan Persekutuan hanya wajar diberi perhatian selepas perkembangan politik semasa, khususnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dapat diketahui.
“Tumpuan kita ketika ini ialah PRN Melaka. Selepas itu, barulah kita berbincang mengenai isu-isu berkaitan Persekutuan,” katanya.