ISKANDAR PUTERI - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dilantik sebagai Pegawai Khas bagi masyarakat Orang Asli di Johor di bawah Yayasan Sultan Ibrahim Johor.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai wakil khas kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim bagi mendekati dan memahami keperluan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
"Selain itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Md Israk Abdullah turut membantu menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini," katanya.
Beliua berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Educity, Iskandar Puteri di sini pada Ahad.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin Marina mampu memainkan peranan berkesan dengan turun padang ke kampung-kampung Orang Asli bagi menyelami sendiri isu serta cabaran yang dihadapi masyarakat berkenaan.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan segala permasalahan masyarakat Orang Asli dapat dikenal pasti dan diberikan perhatian sewajarnya.
"Saya yakin Marina akan turun ke bawah, termasuk ke kira-kira 60 kampung Orang Asli di Johor untuk menyelami masalah yang dihadapi mereka.
"Seterusnya kemajuan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan ditingkatkan," katanya.
Marina pernah berkhidmat sebagai ADUN Skudai sejak Mac 2022, sebelum ini aktif dalam DAP sejak 2017 dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kulai pada 2018.
Beliau memenangi kerusi DUN Skudai pada PRN Johor 2022 dengan majoriti 13,943 undi.
Pada Mei lalu, Marina mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan dan berundur daripada arena politik bagi kembali memberi tumpuan kepada kerja kemasyarakatan.