MELAKA - “Selamanya doktor untuk orang kampung. Jangan pernah berhenti berbuat baik, YB (Datuk) Dr Muhamad Akmal Saleh.”
Demikian komen seorang pengguna Facebook yang memuji tindakan Ketua Pemuda UMNO itu selepas membantu seorang wanita yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Menerusi video berdurasi satu minit 44 saat yang dikongsikan di media sosial, Akmal dilihat memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terbaring di lokasi kejadian.
Beliau turut melakukan pemeriksaan asas selain menenangkan mangsa sementara menunggu bantuan lanjut.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di kawasan selepas Tol Simpang Empat, Melaka pada 30 Ogos lalu, namun video berkenaan dikongsikan Akmal Sabtu lalu.
Wanita tersebut mengalami kecederaan kecil di bahagian dahi sebelum dibawa ke pusat kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menerusi hantaran berkenaan, Akmal berkata, beliau sentiasa meletakkan dirinya dalam situasi mangsa sekiranya berlaku sesuatu kemalangan.
“Sebab itu, jika ada apa-apa kemalangan berlaku di depan saya, saya akan cuba bantu sebaik mungkin.
“Moga akak ini dipermudahkan segala urusan. Kita bantu selagi termampu,” katanya.
Perkongsian tersebut mendapat hampir 25,000 tanda suka, lebih 1,000 komen dan 496 perkongsian semula.
Rata-rata netizen memuji sikap prihatin ADUN Merlimau itu yang sanggup membantu mangsa, selain berharap beliau terus melakukan kebaikan.
Ada juga yang meluahkan rasa bangga melihat Akmal menunjukkan contoh baik sebagai seorang pemimpin.
"Aku dari Kedah pun suka cara Dr Akmal. Teringin nak jumpa dia satu hari nanti. Semua akaun media sosial dia aku ikut.
"Tahniah Dr Akmal. Insya-ALLAH, aku akan jemput Dr Akmal bulan 12 nanti untuk ke majlis perkahwinan aku di Johor. Semoga Dr Akmal sudi sampai,” komen Mohd Ashrol
“Dah la hensem, doktor pulak tu, tambah jadi YB. Pakej penuh la abang ni,” kata Mohd Najib pula.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Dr Akmal membantu mangsa kemalangan apabila beliau sebelum ini turut berkongsi beberapa kejadian ketika memberikan rawatan awal berdasarkan pengalamannya sebagai doktor perubatan.
Selain bergiat dalam politik, Akmal juga mempunyai klinik sendiri di Merlimau.