Kemiskinan, polio bukan penghalang, Jasmi bangkit jadi juara dunia

Iklan
Jasmi menunjukkan pingat BCM diterimanya pada 2023.

MELAKA – Sejak kecil, Jasmi Md Tegol sudah belajar bahawa hidup tidak akan memberi laluan mudah kepadanya.

Menghidap polio ketika berusia kira-kira setahun setengah, beliau membesar dalam keluarga serba kekurangan sambil membantu menjaga lembu dan kambing, manakala ibunya mengambil upah membasuh pakaian di rumah orang.

Iklan
Iklan

Lebih menyakitkan, kemiskinan pernah menyebabkan dirinya dipandang serong dan dituduh apabila berlaku kehilangan barang di kampung.

Daripada rasa terkilan itulah lahir tekad untuk membuktikan bahawa nasibnya tidak akan ditentukan oleh kecacatan atau pandangan orang lain.

Iklan

Bertahun-tahun kemudian, anak kampung yang pernah menjaga ternakan itu bukan sahaja bergelar guru, malah membawa nama Malaysia ke pentas badminton para dunia.

Jasmi bercerita tentang kejayaannya mewakili Malaysia dalam sukan para badminton kepada Sinar Harian.

Iklan

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China, Melaka itu berkata, bapanya berasal dari Indonesia dan datang ke negara ini ketika zaman Jepun, manakala ibunya membantu menyara keluarga dengan mengambil upah membasuh pakaian.

Menurut Jasmi, 58, kejayaan dalam pelajaran menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya apabila beliau diterima melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (UM) pada 1990.

“Ketika itu pandangan orang kampung mula berubah dan mereka dapat menerima bahawa kecacatan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Cabaran

Minat Jasmi terhadap badminton bermula sejak zaman persekolahan, tetapi peluang mewakili sekolah atau daerah agak terbatas kerana keadaan fizikalnya.

Kenangan Jasmi mewakili negara dalam sukan para badminton.

“Dulu apabila saya cacat, guru tidak memilih saya walaupun saya beraksi dengan baik.

“Saya pernah menang pertandingan antara DUN, tetapi tidak dipilih mewakili DUN kerana kecacatan,” katanya.

Jasmi bagaimanapun tidak berhenti bermain dan kemudian menjalani latihan lebih serius termasuk di Kampung Attap, Kuala Lumpur sebelum menyertai program kecemerlangan Majlis Sukan Negara (MSN).

Jasmi (duduk, dua dari kanan) bergambar kenangan sewaktu mewakli negara.

Karier antarabangsanya bermula di Busan, Korea Selatan tetapi kejohanan pertama itu hanya membawanya ke peringkat suku akhir.

“Busan ialah kejohanan antarabangsa pertama saya. Masa itu salji turun dan saya memang tidak tahan sejuk.

“Kami juga tidak membawa bekalan makanan yang mencukupi menyebabkan kelaparan kerana memikirkan soal halal dan haram,” katanya.

Bergelar juara

Pengalaman tersebut menjadikannya lebih bersedia untuk kejohanan seterusnya dengan membawa bekalan makanan dari Malaysia.

Tidak lama kemudian, Jasmi mula mencipta kejayaan apabila meraih pingat perak di Thailand sebelum muncul juara di Chinese Taipei.

Kenangan Jasmi bergelar juara dunia acara regu ketika kejohanan badminton berlangsung di Chinese Taipei suatu ketika dahulu.

Kemuncak kariernya hadir apabila beliau bergelar juara dunia badminton para, pencapaian yang bukan sahaja membawanya menjelajah pelbagai negara tetapi turut mengubah keyakinan dirinya.

“Badminton banyak mendedahkan saya kepada dunia luar. Kalau dahulu saya rasa rendah diri walaupun sudah menjadi guru dan masuk universiti, selepas menjelajah banyak negara, keyakinan saya semakin bertambah,” kata beliau.

Menariknya, pada usia 58 tahun, Jasmi masih aktif di gelanggang dan tahun lalu muncul juara badminton sempena sambutan Hari Guru selepas menewaskan pemain lebih muda.

Jasmi bersama isteri bergambar kenangan selepas menerima Anugerah Hari Guru 2023.

Menurutnya, badminton bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal, sebaliknya memerlukan taktikal, pertahanan dan pengalaman.

Beliau berpandangan, had umur 40 tahun dalam sesetengah program badminton para juga wajar dinilai semula kerana pengalaman amat penting dalam pembentukan atlet berprestasi tinggi.

“Kalau ambil remaja, mereka baru hendak bermula dan pengalaman masih kurang. Untuk mencapai tahap juara dunia memang mengambil masa.

“Cheah Liek Hou juga mengambil masa yang lama untuk dibentuk. Ketika saya aktif, beliau baru berusia 18 tahun dan sekarang sudah menjadi juara dunia,” katanya.

Pengiktirafan

Disebabkan jasa dan pencapaiannya, Jasmi turut mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk Tokoh Guru OKU Kebangsaan pada 2022, Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada 2023, selain Tokoh Usahawan OKU, Tokoh Pemimpin OKU dan Tokoh Maal Hijrah.

Jasmi dan isteri bergambar kenangan sewaktu menerima anugerah BCM.

Bapa kepada 12 anak itu berkata, ibu bapa yang mempunyai anak OKU tidak seharusnya melihat kekurangan mereka sebagai beban.

“Anggap ini satu peluang untuk membuktikan bahawa di sisi ALLAH, manusia itu sama. Yang penting usaha.

“Insya-ALLAH, usaha di samping doa kita akan berjaya,” katanya.