10 glasier berisiko tinggi di dunia

Iklan

Glasier sering dianggap sebagai simbol keindahan menakjubkan alam semula jadi. Namun di sebalik hamparan ais yang kelihatan kukuh, tersembunyi bahaya yang berpotensi mencetuskan bencana amat dahsyat. Pencairan ais, pergerakan glasier, runtuhan batu dan ais serta pembentukan tasik glasier menjadikan sesetengah kawasan semakin terdedah kepada banjir besar, tanah runtuh dan kenaikan paras laut, sekali gus mengancam berbilion penduduk seluruh dunia.

1. Langtang Lirung (Nepal)

Iklan
Iklan

Ancaman: Runtuhan glasier dan banjir

Langtang Lirung menjadi antara contoh paling jelas tentang glasier berisiko tinggi. Kedudukannya di Himalaya menyebabkan kawasan ini terdedah kepada perubahan suhu, pencairan ais dan ketidakstabilan cerun. Kesan bencana tidak terhad kepada kawasan glasier sebaliknya boleh merentasi lembah dan memusnahkan perkampungan serta infrastruktur penting. Runtuhan ais dan batu boleh menghalang aliran sungai lalu membentuk tasik sementara yang berpotensi pecah lalu mencetuskan banjir susulan.

Iklan

2. Glasier Thwaites (Antartika)

Iklan

Ancaman: Kenaikan paras laut global

Glasier gergasi di Antartika Barat ini sering digelar Doomsday Glacier kerana kedudukannya yang penting dalam sistem ais Antartika. Kehilangan ais secara berterusan boleh menyumbang kepada kenaikan paras laut dan memberi tekanan kepada kawasan pantai di seluruh dunia. Pencairan Thwaites menerusi proses jangka panjang menyebabkan kenaikan paras laut dan meningkatkan risiko kepada bandar pesisir, pulau kecil serta kawasan berdataran rendah.

3. Huascaran (Peru)

Ancaman: Runtuhan ais dan batu

Ia merupakan antara kawasan glasier paling menggerunkan di dunia. Pada 1970, gempa bumi kuat mencetuskan runtuhan ais, batu dan tanah dari kawasan Huascaran. Aliran deras menuju lembah memusnahkan bandar Yungay serta kawasan sekitarnya. Tragedi tersebut menunjukkan gabungan gempa bumi, ketidakstabilan cerun dan runtuhan ais boleh menjadi ancaman paling besar.

4. Palcacocha (Peru)

Ancaman: Limpahan tasik glasier (GLOF)

Ia menjadi perhatian kerana ancaman utamanya datang daripada tasik glasier. Palcacocha mendapat perhatian khusus kerana kedudukannya berada di atas bandar Huaraz. Jika berlaku kegagalan pada empangan semula jadi atau limpahan besar, aliran air boleh bergerak pantas menuruni lembah menuju ke kawasan penempatan penduduk. Ia menjadikan Huaraz sangat terdedah kepada banjir besar dan kerosakan infrastruktur.

5 Imja Tsho (Nepal)

Ancaman: Tasik glasier dan GLOF

Imja Tsho merupakan antara tasik glasier paling terkenal di Himalaya, Nepal. Ia terbentuk melalui proses pencairan dan bahaya timbul apabila jumlah air meningkat sementara empangan morain (longgokan batu atau tanah) perlu menahan tekanan yang semakin besar. Runtuhan ais atau batu yang jatuh ke dalam tasik juga berpotensi menghasilkan gelombang besar. Perkembangan Imja Tsho dipantau dengan teliti dan langkah pengurangan risiko telah dilaksanakan berikutan terdapat komuniti di kawasan hilir.

6. Thso Rolpa (Nepal)

Ancaman: GLOF dan runtuhan glasier

Ia merupakan antara tasik glasier yang paling mendapat perhatian dalam kajian risiko bencana Himalaya. Kedudukannya di kawasan pergunungan menjadikan tasik ini terdedah kepada runtuhan ais dan batu dari cerun sekitarnya. Jika runtuhan besar memasuki tasik, ia boleh menghasilkan gelombang yang melimpah keluar melalui empangan morain dan mengancam penduduk.

7. Glasier Khumbu (Nepal)

Ancaman: Runtuhan menara ais

Terletak di kawasan Gunung Everest dan merupakan salah satu kawasan paling berbahaya di laluan pendakian Everest.

Permukaan ais di kawasan itu sentiasa bergerak. Rekahan boleh terbentuk, blok ais gergasi atau permatang ais yang tajam boleh runtuh secara tiba-tiba. Ancaman Khumbu lebih bersifat langsung kepada kumpulan pendaki. Namun, perubahan iklim turut menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan ais dan persekitaran di kawasan tersebut.

8. Thulagi Tsho (Nepal)

Ancaman: GLOF

Ia merupakan satu lagi kawasan Himalaya yang diberi perhatian kerana potensi banjir akibat tasik glasier. Ancamannya berkait rapat dengan perkembangan tasik, kestabilan empangan morain dan kemungkinan runtuhan ais atau batu memasuki tasik. Walaupun GLOF bukan kejadian yang berlaku setiap masa, potensi limpahan tidak terkawal menjadikan kawasan seperti Thulagi penting untuk pemantauan awal.

9. Glasier Hubband (Alaska, AS)

Ancaman: Empangan ais dan banjir

Ia mempunyai satu ciri yang menjadikannya unik iaitu glasier ini boleh bergerak sehingga menghalang laluan air. Pada 1986, Hubbard menyekat Russell Fjord dan menyebabkan air terkumpul membentuk sebuah tasik besar. Ia menunjukkan bahawa glasier juga boleh berfungsi seperti empangan dan bukan hanya penyebab banjir.

10. Glasier Mendenhall (Alaska, AS)

Ancaman: Banjir GLOF

Berdepan ancaman yang semakin mendapat perhatian akibat banjir daripada Suicide Basin. Apabila air terkumpul melepasi kapasiti sistem semula jadi, ia boleh mengalir deras ke kawasan hilir dan menyebabkan banjir. Keadaan ini membuktikan bahawa bahaya glasier tidak semestinya datang dalam bentuk runtuhan ais yang dramatik. Kadangkala, ancaman terbesar bermula dengan sesuatu yang kelihatan lebih kecil iaitu air yang terkumpul di sebalik ais.