IPOH - Seorang lelaki warga emas kerugian RM1.9 juta selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 78 tahun itu semalam dan kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Iklan
Iklan
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai menggunakan modus operandi penipuan panggilan telefon iaitu suspek menyamar sebagai pihak berkuasa bagi menimbulkan rasa takut dan meyakinkan mangsa bahawa mangsa terlibat dengan suatu kesalahan atau siasatan.
"Mangsa kemudian diminta mengikuti arahan diberikan sehingga wang miliknya dipindahkan kepada pihak tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah panik atau mempercayai panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, pegawai bank atau wakil mana-mana agensi penguatkuasaan.
"Pihak polis tidak akan mengarahkan mana-mana individu memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan.
"Sekiranya menerima panggilan mencurigakan, orang ramai dinasihatkan segera menamatkan panggilan, tidak mendedahkan maklumat perbankan, nombor TAC/OTP, kata laluan atau maklumat peribadi serta membuat pengesahan melalui saluran rasmi agensi berkenaan,” katanya. - Bernama