SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan menggesa penubuhan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan adat yang berlaku di negeri ini.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Nagoor berkata, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang diadakan pada Jumaat.
Menurutnya, langkah segera perlu diambil untuk menyelesaikan isu adat di negeri ini dengan cara yang harmoni, serta mengikut tatacara adat yang sebenar.
"Ia bagi mengelakkan ketidaktentuan serta salah faham berterusan dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian pada 26 April lalu melaporkan pandangan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias supaya satu jawatankuasa khas pendamai ditubuhkan bagi menyelesaikan krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan yang sedang berlaku.
Katanya, jawatankuasa tersebut perlu dianggotai individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Jawatankuasa ini perlulah dianggotai oleh mereka yang berpengaruh dan mempunyai kepakaran dalam adat, khususnya UUTKNS, selain tidak menyebelahi mana-mana pihak bagi mencari penyelesaian terbaik supaya kemelut ini tidak berpanjangan,” katanya.