SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] “Assalamualaikum, Tun.”
Demikian sapaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyantuni bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Sabtu.
Menerusi video yang dikongsikan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Bang Mat menerusi Facebooknya, beliau dilihat bersalaman dan beramah mesra dengan Dr Mahathir.
Dalam pertemuan ringkas itu, tokoh negarawan itu turut bertanyakan mengenai jumlah kehadiran pengunjung ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
“MAHA tahun ini berapa banyak?” tanya Dr Mahathir.
Mohamad kemudian memaklumkan bahawa jumlah kehadiran pengunjung setakat ini sudah melebihi empat juta orang.
“MAHA tahun ini kehadiran setakat ini, Alhamdulillah dah lebih empat juta dah ni,” katanya.
Terdahulu, Edisi ke-14 MAHA itu berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos hingga 6 September ini.
MAHA merupakan platform utama sektor pertanian negara yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan dan institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi serta peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.
Sementara itu, Dr Mahathir menerusi hantaran di Facebooknya berkata, dahulu, pertanian bermakna tenaga fizikal, cangkul di tangan dan bergantung sepenuhnya kepada cuaca serta pengalaman turun-temurun.
Bagaimanapun menurutnya, hari ini teknologi pertanian berkembang dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), dron dan jentera moden.
"Dalam lawatan saya ke MAHA 2026 pagi ini, saya berkesempatan untuk melawat beberapa ruang pameran yang menarik, antaranya Smart Farming di mana saya dapat melihat sendiri sejauh mana teknologi ternakan dan pertanian telah berubah wajah pada hari ini.
"Terima kasih kepada Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas jemputan yang diberikan untuk saya menghadiri MAHA 2026 pada kali ini," tulisnya.