KUALA LUMPUR – Edutainment Fest Simpan SSPN menjadi platform penting dalam membentuk generasi masa depan menerusi gabungan pendidikan dan hiburan yang bukan sahaja menyeronokkan, malah memberikan pendedahan kepada kanak-kanak dan keluarga mengenai kepentingan merancang masa depan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Lokman Affandy Yahya berkata, pendekatan edutainment membolehkan mesej pendidikan disampaikan dalam suasana yang lebih santai, menarik dan mudah diterima.
Menurutnya, antara perkara yang diberikan penekanan menerusi penganjuran Edutainment Fest ialah usaha membudayakan amalan menabung dalam kalangan keluarga, khususnya bagi persediaan pendidikan anak-anak.
“Budaya menabung merupakan satu amalan yang perlu kita utamakan pada masa ini.
“Selain itu, kita mahu memupuk generasi muda masa depan agar lebih yakin, kreatif dan berani mencuba tanpa rasa takut,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Peluncuran Edutainment Fest Simpan SSPN di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu.
Majlis pelancaran festival itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Zawiah Wan Abu Bakar.
Edutainment Fest 2026 berlangsung selama dua hari, iaitu pada 5 dan 6 September di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Festival anjuran Pa&Ma dan Nu Ideaktiv dengan kerjasama Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) PTPTN serta sokongan Jalen dan Sanofi itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk Himpunan Generasi Futuristik, Genius IQ Simpan SSPN, Kuasa Mewarna dan sesi Meet & Greet Mechamato.
Sebanyak 500 peserta terawal yang mendaftar turut berpeluang menerima akaun Simpan SSPN bernilai RM30, barangan eksklusif dan sijil penyertaan.
Lokman berkata, pendekatan edutainment yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan membolehkan mesej berkaitan pendidikan serta perancangan masa depan disampaikan dalam suasana yang lebih menyeronokkan.
“Kami menggabungkan pendidikan dengan hiburan sebaik mungkin bagi menjadikan program ini satu acara yang bermakna untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, sambutan ibu bapa terhadap penganjuran Edutainment Fest amat memberangsangkan, khususnya melihat komitmen mereka membawa anak-anak menyertai program tersebut.
“Alhamdulillah, saya melihat sambutan ibu bapa dan kesungguhan mereka hadir seawal pagi ke Kuala Lumpur sebagai sesuatu yang amat membanggakan dan menggembirakan kami,” katanya.
Tambah beliau, Edutainment Fest yang kini memasuki edisi keempat diharap dapat diteruskan serta diperluaskan menerusi kerjasama strategik dengan lebih banyak pihak pada masa hadapan.
“Kami sentiasa mencari rakan strategik yang mempunyai aspirasi sama untuk memperkukuh agenda kekeluargaan dan membudayakan aktiviti yang sihat serta bermanfaat untuk keluarga,” katanya.