KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa semua pihak supaya tidak terlalu ghairah menuntut dana atau hasil daripada Petronas ketika syarikat itu berdepan ketidaktentuan berhubung sektor minyak dan gas Sarawak serta risiko gangguan bekalan tenaga di Selat Hormuz.
Beliau berkata, tuntutan terhadap Petronas perlu dibuat secara berhemat kerana syarikat minyak dan gas nasional itu masih diperlukan untuk membiayai pelaburan besar, menjamin bekalan bahan api dan melindungi keselamatan tenaga negara.
“Ditambah pula dengan kemelut perjanjian gas dengan Sarawak, yang mana kita belum tahu kesudahannya bagaimana,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Petronas dan kerajaan Sarawak telah memfailkan petisyen berasingan di Mahkamah Persekutuan berhubung keabsahan serta pemakaian undang-undang negeri dan Persekutuan berkaitan minyak dan gas.
Isu itu mempunyai kesan besar terhadap masa depan Petronas kerana perairan berdekatan Borneo memiliki lebih 60 peratus rizab gas Malaysia.
Petronas berkata, ia memerlukan penjelasan undang-undang mengenai kerangka kawal selia bagi operasinya di Sarawak, manakala kerajaan negeri mencabar pemakaian beberapa undang-undang petroleum Persekutuan.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, dalam keadaan isu tersebut belum mempunyai penyelesaian muktamad, semua pihak harus mengelakkan tindakan yang boleh melemahkan kedudukan kewangan Petronas.
Beliau berkata, Petronas bukan sekadar syarikat yang menyumbang hasil kepada kerajaan, sebaliknya aset strategik yang menjadi sandaran negara ketika berdepan krisis.
“Sebelum ini saya kata angsa bertelur emas. Tetapi yang pastinya dalam bahasa Melayu, Petronas adalah ayam tambatan,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada dividen Petronas untuk menampung belanjawan negara.
“Pada ketika ini, kerajaan sedang menggasak Petronas untuk menampung belanjawan.
“Bukan kita tak boleh, boleh. Tetapi kita kena ingat Petronas perlu simpan untuk masa-masa mendatang, khususnya pelaburan dalam perkara-perkara melibatkan minyak dan gas yang begitu padat modal,” katanya.
Belanjawan 2027 mengunjurkan sumbangan RM32 bilion daripada Petronas kepada hasil kerajaan, bersamaan kira-kira 8.4 peratus daripada unjuran hasil persekutuan RM380.8 bilion tahun depan.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM20 bilion yang pada asalnya diperuntukkan dalam Belanjawan 2026, walaupun anggaran disemak bagi tahun ini kemudian dinaikkan kepada RM27 bilion.
Pada separuh pertama 2026, Petronas mengisytiharkan dividen RM20 bilion kepada pemegang sahamnya.
Petronas mencatatkan hasil RM152.4 bilion dan keuntungan selepas cukai RM27.2 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu.
Namun, aliran tunai daripada operasi susut sedikit kepada RM47.5 bilion, manakala pelaburan modal meningkat lebih dua kali ganda kepada RM41.4 bilion.
Pelaburan itu merangkumi aktiviti penerokaan dan pembangunan huluan bagi memastikan pengeluaran minyak dan gas dapat dikekalkan pada masa depan.
Simpanan tunai dan dana Petronas berjumlah RM193.6 bilion pada 30 Jun, turun daripada RM204.4 bilion pada akhir 2025. Kedudukan tunai bersih pula berada pada RM66.8 bilion, paras terendah dalam tempoh lima tahun.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, angka tunai itu tidak boleh dilihat secara berasingan daripada keperluan Petronas untuk menghadapi kejutan bekalan tenaga.
Pada Mac lalu, Petronas berkata hampir 40 peratus keperluan minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz.
Krisis Asia Barat telah meningkatkan harga minyak mentah, kos perkapalan dan premium insurans, sedangkan permintaan tempatan bagi petrol dan diesel melebihi bekalan domestik.
Petronas menggunakan rangkaian operasi bersepadunya untuk memastikan bekalan mencukupi, termasuk menyokong hampir separuh pasaran bahan api domestik ketika krisis tersebut.
“Dengan Petronas menampung subsidi yang begitu banyak, apakah taraf kesihatan Petronas untuk menampung belanjawan negara?
“Kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat bagaimana Petronas akan menghadapi cabaran-cabaran ini sambil terus menyokong negara,” kata Wan Ahmad Fayhsal.