JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 600 katrij vape disyaki mengandungi cecair dadah yang dikenali sebagai 'piu-piu' bernilai RM160,000 di perairan Senggarang, dekat Batu Pahat pada Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, pihaknya mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan pada 12 tengah malam, namun suspek berjaya melarikan diri bersama bot berkenaan selepas dikejar bot peronda.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebuah beg berwarna hitam mengandungi dadah berkenaan yang ditinggalkan di kawasan berbatu di tepi sebuah pantai.
"Kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.
Mohammad Zaini berkata, sampel cecair vape terbabit akan dihantar ke makmal untuk analisis pengesahan kandungan dadah.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang awam serta komuniti maritim diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut bagi membanteras kegiatan jenayah serta menjamin keselamatan perairan negara. - Bernama