KOTA BHARU - Sikap taat dan wala' (kesetiaan) yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan jemaah menjadi kunci utama dalam usaha Pas menuju ke Putrajaya serta memimpin negara.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, kebersamaan dan kepatuhan ahli terhadap setiap keputusan parti amat penting bagi memastikan perjuangan yang dirancang mencapai kejayaan.
Menurutnya, situasi tersebut menuntut kesatuan hati seluruh ahli seperti mana keteguhan sikap para sahabat Nabi Muhammad SAW ketika berdepan ujian menjelang Perang Badar.
"Para sahabat melalui pemimpin-pemimpin sama ada Aus, Khazraj, Muhajirin dan Ansar, satu kata-kata yang menjadi kata-kata hikmah yang sangat istimewa daripada seorang sahabat, Miqdad bin 'Amru menyebut: ‘Imdi lima araakallah, fa nahnu ma'ak’ (Berjalanlah wahai Rasul, sebagaimana yang ditunjukkan oleh ALLAH SWT, kami bersama dengan kamu).
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahmad turut mengimbau peringatan yang pernah disampaikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kepentingan kesetiaan sebenar dalam organisasi.
"Tan Sri Tuan Guru Presiden pernah mengemukakan, sewaktu berbahas ramai yang menyebut 'Kami berada di belakang Tuan Guru Presiden'. Tapi Tuan Guru sebut, 'Kebimbangan saya ialah bila tengok belakang, tak ada orang'. Masing-masing menyebut 'Kami bersedia berada di belakang', pusing belakang tengok tak ada orang.
"Kerana itu, bila keputusan sudah dibuat, ketaatan dan wala’ adalah merupakan suatu yang sangat penting dalam jemaah kita. Dan marilah pada hari yang mulia ini, kita memberikan kepatuhan dan wala’ yang tertinggi kepada kepimpinan untuk menuju ke jalan yang dirintis bagi mencapai kejayaan," katanya.
Beliau secara berseloroh berkata gelaran kesetiaan tidak sepatutnya menjadi isu, sebaliknya yang perlu dihindari ialah sikap merosakkan jemaah.
"Biarlah kita digelar dengan walaun. Walaun tak jadi masalah, jangan malaun. Jadi ini sangat penting," katanya.