Pameran pelancongan domestik di MATTA Fair rekod jualan hingga RM16 juta setiap edisi

Iklan
Nigel (tengah) ketika merasmikan pembukaan MATTA Fair ke-59 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Pameran pelancongan domestik di MATTA Fair merekodkan sambutan positif apabila menjana jualan sehingga RM16 juta setiap edisi.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, perkembangan itu menunjukkan perubahan trend apabila semakin ramai rakyat Malaysia mula meneroka destinasi pelancongan dalam negara.

Iklan
Iklan

"Dewan domestik MATA Fair kini menjadi antara pameran pelancongan domestik terbesar di Malaysia, dengan setiap edisi menjana kira-kira RM15 juta hingga RM16 juta dalam jualan pelancongan domestik.

"Pada masa sama, Aras 1 (dewan domestik) menghimpunkan pemain domestik dengan penyertaan negeri-negeri dari seluruh Malaysia serta rakan pelancongan tempatan," katanya ketika berucap pada pembukaan MATTA Fair September ke-59 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, perkembangan itu baik untuk pelancongan antarabangsa kerana ia merangsang kreativiti dan inovasi dalam kalangan tarikan serta destinasi pelancongan tempatan.

Kata beliau, MATTA Fair kali ini menawarkan pelbagai destinasi percutian, tawaran perjalanan dan pengalaman pelancongan kepada pengunjung.

Iklan

Jelasnya, penganjuran edisi kali ini berlangsung ketika sektor pelancongan negara menunjukkan momentum positif dengan Malaysia merekodkan 42.2 juta pelawat antarabangsa pada 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Momentum itu berterusan pada 2026 apabila sebanyak 21.2 juta ketibaan antarabangsa direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Penganjuran MATTA Fair kali ini turut menyokong sasaran 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan RM147.1 bilion hasil pelancongan menjelang akhir tahun menerusi kempen Visit Malaysia 2026," ujarnya.

Nigel

Nigel berkata, pameran ini turut menghimpunkan pelbagai agensi pelancongan berlesen, lembaga pelancongan, hotel dan syarikat penerbangan, selain 12 Organisasi Pelancongan Negeri (STO) serta 16 Organisasi Pelancongan Kebangsaan (NTO) dari seluruh dunia.

"Taiwan pula menjadi destinasi antarabangsa kegemaran bagi edisi kali ini," ujarnya.

Menurut beliau, prestasi positif sektor pelancongan negara tahun ini memberikan peluang kepada keseluruhan industri untuk terus berkembang.

“Kami secara aktif berusaha membina momentum ini dengan menjadikan perjalanan lebih mudah diakses dan dipercayai.

“Sebagai rakan strategik kepada Visit Malaysia 2026, MATTA akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan rakan industri bagi menyokong agenda pelancongan negara serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa industri pelancongan kekal berdaya tahan walaupun berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik dan isu alam sekitar.

“Industri pelancongan telah membuktikan bahawa ia merupakan sektor yang sangat berdaya tahan, mudah menyesuaikan diri dan fleksibel. Bagi memastikan sektor ini terus berkembang, ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri, organisasi pelancongan serta rakan antarabangsa,” ujarnya.

Lebih 2,000 gerai daripada 306 organisasi akan menyertai MATTA Fair September 2026 di MITEC Kuala Lumpur, bermula 4 hingga 6 September.

Penganjuran edisi ke-59 itu turut menyaksikan Malaysia Aviation Group (MAG) kembali sebagai rakan rasmi syarikat penerbangan dan penaja utama, dengan menawarkan pelbagai promosi serta pakej perjalanan kepada pengunjung.