SAYA merasa teruja membaca tulisan tajam pengamat politik tersohor negara, Tan Sri Dr Nordin Kardi, mengenai Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menarik sekali kerana ia merupakan suatu cadangan pembinaan kepimpinan nasional yang melibatkan bagaimana seorang pemimpin yang lahir daripada kerangka politik kepartian dan identiti Islam boleh melepasi batas penyokong tradisionalnya untuk diterima sebagai calon pemimpin negara.
Formula 'Negarawan–Teknokrat–Demokrat' yang dikemukakan Nordin, yang merupakan mantan Naib Canselor di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), amat menarik sekali kerana ketiga-tiga unsur itu menyentuh secara langsung cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh Samsuri sekiranya beliau mahu bergerak daripada politik negeri dan parti kepada politik nasional.
Perbincangan ini semakin relevan kerana kedudukan Samsuri sendiri telah berubah dengan ketara. Beliau bukan sahaja merupakan Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman, malah dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional pada Februari 2026. Peranan tersebut meletakkannya dalam ruang politik nasional yang jauh lebih luas berbanding sebelumnya.
Dalam kata lain, persoalan yang dibangkitkan oleh Nordin tentang potensi Samsuri sebagai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri bukan lagi sekadar spekulasi mengenai seorang pemimpin negeri, tetapi berkaitan dengan seorang tokoh yang kini memegang tanggungjawab utama dalam blok pembangkang nasional.
Unsur pertama, 'negarawan', mungkin yang paling penting. Cabaran kepada mana-mana pemimpin Pas yang bercita-cita memimpin Malaysia ialah membuktikan bahawa kepimpinannya tidak terbatas kepada ahli parti, pengundi Melayu-Islam atau negeri-negeri yang menjadi kubu tradisional Pas.
Nordin tepat apabila membezakan antara pemimpin parti dengan pemimpin negara. Mandat pilihan raya memberi hak membentuk kerajaan, tetapi tidak memberi hak memperlakukan negara sebagai milik parti yang menang.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, legitimasi seorang Perdana Menteri bukan sahaja datang daripada jumlah kerusi, tetapi juga daripada keupayaannya meyakinkan kelompok yang tidak mengundinya bahawa hak, kepentingan dan maruah mereka tetap dilindungi.
Di sinilah Samsuri berpeluang membina kelainan. Beliau tidak perlu meninggalkan identiti Pas atau identiti Islamnya. Sebaliknya, identiti tersebut perlu diterjemahkan melalui bahasa pemerintahan yang lebih universal: keadilan, amanah, integriti, kebajikan, kesederhanaan dan belas ihsan.
Nordin menggunakan gagasan rahmat kepada seluruh alam sebagai jambatan antara identiti Islam dengan tuntutan masyarakat majmuk. Dari sudut strategi politik Pas, pendekatan ini penting. Cabaran Pas bukan semata-mata menambah kekuatan di kawasan yang telah menerima parti itu, tetapi mengurangkan kebimbangan kelompok pengundi yang masih ragu-ragu terhadap bentuk pemerintahan nasional yang akan ditawarkan Pas.
Unsur kedua ialah 'teknokrat'. Latar Samsuri sebagai jurutera aeroangkasa dan pemegang PhD memberikan beliau profil yang agak berbeza daripada stereotaip ahli politik konvensional. Pada masa sama, kelayakan akademik sahaja tidak mencukupi.
Seperti dihujahkan oleh Nordin, identiti teknokrat hanya mempunyai nilai politik apabila diterjemahkan kepada cara membuat keputusan melalui kaedah mengenal pasti masalah, mencari punca, menilai pilihan, menggunakan data, melaksanakan penyelesaian dan mengukur hasil.
Hal ini sangat penting kerana politik Malaysia sering terperangkap dalam perang naratif tentang siapa yang bersalah, sedangkan rakyat akhirnya menilai kerajaan melalui perkara yang lebih konkrit seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, pelaburan, produktiviti dan mutu perkhidmatan awam.
Sekiranya Samsuri mahu menjadikan latar teknokratiknya sebagai modal nasional, beliau perlu memperlihatkan bahawa pendekatan berasaskan data mampu menghasilkan penyelesaian, bukan sekadar memberikan imej seorang pemimpin berpendidikan tinggi.
Bagaimanapun, teknokrasi mempunyai batasnya. Negara tidak boleh ditadbir seperti sebuah makmal atau sistem kejuruteraan semata-mata. Dasar awam melibatkan manusia, nilai, konflik kepentingan dan kelompok yang mempunyai pengalaman berbeza. Justeru, unsur ketiga yang dikemukakan Nordin, 'demokrat', melengkapkan formula tersebut.
Seorang pemimpin yang cekap tetapi tidak toleran terhadap kritikan boleh menjadi teknokrat yang berkesan, tetapi belum tentu demokrat yang baik. Kesediaan menerima pembangkang, media, masyarakat sivil dan suara yang tidak bersetuju merupakan ujian sebenar kepada keyakinan seseorang pemimpin terhadap demokrasi.
Dalam konteks ini, gagasan bahawa seorang Perdana Menteri harus menjadi 'Perdana Menteri Malaysia' dan bukan 'Perdana Menteri Pas' mempunyai makna yang jauh lebih mendalam daripada slogan. Ia menuntut perubahan psikologi daripada budaya kemenangan kepartian kepada budaya amanah kenegaraan.
Saranan Nordin supaya Samsuri menguasai 'seni diam' juga wajar diberi perhatian. Politik digital mendorong ahli politik memberikan reaksi pantas terhadap hampir setiap kontroversi. Namun, pemimpin nasional tidak perlu memenangi setiap pertengkaran.
Kadangkala kewibawaan meningkat apabila seseorang mengetahui isu mana yang perlu dijawab sendiri, isu mana yang boleh diserahkan kepada pasukan komunikasi dan isu mana yang lebih baik dijawab melalui prestasi.
Ketenangan, disiplin komunikasi dan keupayaan mengelakkan politik peribadi boleh membantu Samsuri membina imej yang melampaui sempadan partisan.
Namun begitu, terdapat juga satu peringatan penting di sini. Formula Negarawan–Teknokrat–Demokrat tidak boleh berhenti sebagai strategi penjenamaan politik.
Rakyat akan menilai kesesuaiannya melalui rekod sebenar seperti cara beliau mengurus Terengganu, memimpin PN, berbahas di Parlimen, menangani kritikan, mendekati bukan Melayu dan bukan Islam, memilih isu yang diperjuangkan serta bertindak apabila kepentingan parti bertembung dengan kepentingan institusi.
Ujian terbesar seorang bakal negarawan ialah konsistensi antara bahasa ketika belum berkuasa dengan tindakan apabila mempunyai kuasa.
Justeru, komentar Nordin sebenarnya mengemukakan satu peta jalan yang berguna bukan sahaja kepada Samsuri, tetapi juga kepada Pas.
Sekiranya Pas mahu benar-benar bergerak daripada sebuah parti yang kuat dalam segmen tertentu kepada sebuah parti yang mampu mengetuai kerajaan Persekutuan, ia perlu menawarkan lebih daripada kekuatan organisasi dan kemenangan pilihan raya. Ia mesti menghasilkan keyakinan nasional.
Dalam kerangka itu, kekuatan terbesar Samsuri mungkin bukan pada kemampuannya menjadi ahli politik yang paling lantang, tetapi pada peluangnya menjadi sesuatu yang lebih sukar dibina, iaitu pemimpin Islam yang tenang tetapi tegas, berasaskan data tetapi memahami manusia, setia kepada partinya tetapi mampu melampaui kepartian dan yakin dengan prinsipnya tanpa takut kepada perbezaan.
Jika watak tersebut dapat dibuktikan melalui tindakan secara konsisten oleh beliau dalam beberapa bulan ke hadapan, maka pertanyaan sama ada Samsuri mempunyai 'material' sebagai PM atau TPM akan segera terjawab melalui rekod kepimpinannya sendiri.
*Mohd Afifi Abdul Razak ialah penganalisis politik tempatan