'Rasa takut sepanjang perjalanan' - Wanita dakwa pengalaman ngeri naik e-hailing

Iklan
Kedua-dua penyandar kepala tempat duduk hadapan dengan imej wajah menyerupai hantu.

BANGKOK - Seorang wanita terkejut apabila mendapati dua penyandar kepala tempat duduk hadapan sebuah kenderaan e-hailing dihiasi imej wajah menyerupai hantu ketika menaiki kenderaan berkenaan.

Memetik laporan Thaiger, wanita itu berkongsi pengalaman tersebut menerusi kumpulan Facebook 'We Are Consumers' pada Selasa lepas sambil mendakwa perjalanan berkenaan sebagai satu pengalaman yang menakutkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia pada awalnya berasa kurang selesa sebaik memasuki kenderaan terbabit, namun terpaksa meneruskan perjalanan kerana berada dalam keadaan tergesa-gesa.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, kedua-dua penyandar kepala tempat duduk hadapan dilitupi imej wajah manusia berwarna pucat dengan mata terbuka luas, menyerupai watak hantu dalam filem seram.

Iklan

Turut kelihatan papan kayu yang memaparkan beberapa peraturan untuk penumpang dan digantung di belakang salah satu tempat duduk.

Wanita itu berkongsi pengalaman menaiki kenderaan e-hailing terbabit melalui Facebook 'We Are Consumers' pada Selasa lepas.

Iklan

Wanita itu mendakwa sudah membuat aduan kepada khidmat pelanggan syarikat e-hailing berkenaan, namun berasakan kebimbangannya tidak diberi perhatian sewajarnya.

Selain keadaan dalam kenderaan, dia turut berkongsi gambar bahagian luar yang menunjukkan beberapa panel badan di bahagian belakang kenderaan berkenaan didapati tiada.

Susulan aduan itu, syarikat e-hailing terbabit mengesahkan menerima laporan penumpang berkenaan dan sedang menjalankan siasatan.

Pihak syarikat turut menghubungi wanita terbabit bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Akses pemandu berkenaan kepada platform e-hailing telah digantung sementara siasatan dijalankan, termasuk bagi memastikan kenderaan terbabit memenuhi keperluan keselamatan dan kelayakan jalan raya.

Pihak syarikat berkata, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan menegaskan keselamatan serta keselesaan pengguna kekal menjadi keutamaan.