Motosikal diparkir di masjid kena ‘kebas’ ketika solat Jumaat

Iklan
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan motosikal jemaah di Masjid Kariah Kampung Rendah dilarikan suspek

REMBAU - Dua motosikal milik jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Kampung Rendah di sini dilaporkan hilang.

Difahamkan, kejadian itu hanya disedari mangsa kira-kira jam 2.15 petang ketika mahu pulang selepas mendapati motosikal yang diletakkan di kawasan parkir masjid sudah tiada.

Iklan
Iklan

Berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) yang tersebar, kelihatan dua suspek seperti tergesa-gesa membawa keluar motosikal berkenaan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Ngiam Ooi Ming mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan empat remaja lelaki berusia 14 hingga 15 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

"Dua laporan polis diterima berhubung kejadian terbabit dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Berdasarkan hasil siasatan dan risikan, empat lelaki tempatan berusia antara 14 hingga 15 tahun telah ditahan, manakala dua motosikal yang dilaporkan hilang berjaya dijumpai dalam tempoh kurang 24 jam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna bagi mengelakkan kejadian kecurian.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.