KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menolak tindakan undang-undang difailkan dua ahli politik, Badan Peguam Malaysia, Bersih 2.0 serta tujuh pihak lain yang mencabar nasihat bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk menggantung Parlimen ketika tempoh darurat Covir-19 pada 2021.
Dalam keputusan yang disampaikan dalam prosiding menerusi aplikasi Zoom, Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan mahkamah tidak boleh memberikan perisytiharan yang dimohon untuk membatalkan peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, termasuk Seksyen 14 yang mengakibatkan kepada penggantungan Parlimen.
Beliau berkata, meskipun terdapat persoalan sama ada pembatalan itu perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Parlimen, tempoh yang ditetapkan dalam Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan tetap terpakai bagi dokumen pembatalan yang berkaitan.
"Perintah pengisytiharan yang dimohon oleh pemohon adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah. Responden (kerajaan) berhujah bahawa persoalan-persoalan ini bersifat akademik kerana ordinan darurat berkenaan sudah tidak lagi berkuat kuasa,” katanya.
Aliza berkata, mahkamah tidak seharusnya menggunakan perisytiharan berkenaan untuk membuka semula kesan prosiding Parlimen atau membuat keputusan mengenai kesahihan nasihat yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Saya berpendapat Perkara 150(3) dan Perkara 150(7) perlu ditafsirkan dari sudut undang-undang dalam kes yang masih mempunyai isu untuk diputuskan,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun, dalam kes berkenaan, perisytiharan yang dimohon oleh para pemohon berkait rapat dengan pembatalan, luputnya tempoh berkuat kuasa serta tindakan Parlimen terhadap ordinan-ordinan darurat tersebut pada masa lepas.
"Sehubungan dengan itu, permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh pemohon-pemohon serta saman pemula oleh para plaintif ditolak tanpa sebarang perintah berhubung kos,” katanya.
Permohonan semakan kehakiman berkenaan masing-masing difailkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Abdul Aziz Bari, selain dua saman pemula turut difailkan berasingan oleh Badan Peguam Malaysia dan Bersih 2.0 bersama tujuh pihak lain, yang turut mencabar pengisytiharan darurat itu.
Mereka menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan Kabinet diketuai Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong ke-16 untuk mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah melanggar Perlembagaan, tidak mengikut undang-undang, tidak berkesan dan ultra vires (di luar kuasa).
Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Abdullah Abdul Rahman dan Abraham Au mewakili kedua-dua ahli politik berkenaan serta pemohon lain manakala Peguam Persekutuan Zulkiefli Sulaiman mewakili Perdana Menteri pada ketika itu dan kerajaan. - Bernama