SHAH ALAM – Rakyat perlu mengubah standard dalam memilih pemimpin dengan meletakkan integriti sebagai kriteria utama, bukan terpengaruh dengan wang atau kebijaksanaan seseorang mengambil hati.
Pengerusi Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters) dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, perkara itu perlu bermula daripada rakyat sendiri sebelum mereka menuntut pemimpin supaya berintegriti.
Menurutnya, rakyat kadangkala menyokong mana-mana pemimpin yang memberikan wang, pandai mengambil hati atau membuatkan mereka terpegun dengan cara percakapan, walaupun apa yang diperkatakan tidak selari dengan tindakan.
"Yang pandai bodek kita, yang kita terpegun dengan cara dia bercakap, tapi dia cakap lain, dia bikin lain. Jadi itu yang saya kira kita hendak bina integriti itu dulu,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada program Interviu bertajuk '#Malaysia100 Tahun: Masa Depan Negara Di Tangan Rakyat' yang dihoskan oleh Haizir Othman di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Program tersebut turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.
Hussamuddin berkata, prioriti pertama dalam gagasan #Malaysia100 adalah integriti kerana perubahan memerlukan ahli politik atau pemimpin yang berintegriti
“Dalam gagasan kita itu, prioriti pertama adalah integriti. Kerana untuk membuat perubahan ini, kita perlu kepada ahli politik atau pemimpin yang berintegriti," ujarnya lagi.
Justeru, beliau mengingatkan, usaha membina rakyat yang berintegriti perlu bermula daripada diri sendiri sebelum berkembang kepada keluarga, kampung, daerah, negeri dan akhirnya seluruh Malaysia.
Hussamuddin berkata, apabila rakyat sudah meletakkan integriti sebagai standard utama, mereka akan memilih pemimpin berdasarkan nilai tersebut dan bukan atas kepentingan lain.
“Jadi sepatutnya pemimpin ini lahir daripada orang yang paling baik di kalangan orang yang paling baik. Tapi bila rakyat sendiri sanggup ambil duit, sanggup korbankan prinsip, kualiti pemimpin yang kita dapat begitulah,” katanya.
Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, Malaysia perlu membina semula nilai moral dan karakter bangsa supaya masyarakat mempunyai standard yang jelas dalam menilai seseorang pemimpin.
Menurutnya, apabila kesedaran rakyat semakin meningkat, ahli politik tidak lagi boleh berbohong kerana mengetahui mereka akan ditolak.
Beliau berkata, perubahan itu perlu digerakkan dari bawah melalui satu gerakan rakyat yang bermula daripada diri sendiri.
Tegasnya, sasaran Malaysia mencapai 100 tahun kemerdekaan pada 2057 boleh dijadikan permulaan kepada proses memilih kepimpinan yang mampu membawa negara ke arah lebih baik.