IPPTAR perkasa kemahiran media, AI menerusi 71 kursus

Iklan
IPPTAR merupakan Institut Latihan Awam (ILA) dibawah Kementerian Komunikasi paling signifikan dengan kursus melibatkan pembangunan teknologi AI dan penyiaran negara.

KUALA LUMPUR - Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pembangunan kompetensi dalam bidang penyiaran, media, komunikasi dan industri kreatif apabila berjaya melaksanakan 71 daripada 98 kursus bagi tahun 2026.

Pelaksanaan kursus berkenaan melibatkan 17,782 peserta menerusi empat kluster utama IPPTAR iaitu Kluster Industri Kreatif (KIK), Kluster Kejuruteraan Penyiaran (KKP), Kluster Komunikasi Strategik (KKS) serta Kluster Penyelidikan dan Penerbitan (KPP).

Iklan
Iklan

Ketua Bahagian Akademik (KBA), Mohammad Yusari Ameer Mohd Yusof berkata, perkembangan pesat teknologi dan perubahan landskap media memerlukan pendekatan latihan yang lebih dinamik, praktikal dan berorientasikan masa hadapan.

MOHAMMAD YUSARI AMEER

Iklan

“IPPTAR sentiasa memastikan program latihan yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan industri dan perubahan teknologi.

“Perkembangan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital serta perubahan corak penggunaan media memerlukan warga kerja yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan, tetapi mampu mengaplikasikan teknologi secara kreatif, strategik dan bertanggungjawab,” katanya.

Iklan

Menurutnya, KIK melaksanakan 25 kursus dengan 3,653 peserta, KKP 20 kursus dengan 1,045 peserta, KKS 14 kursus dengan 338 peserta, manakala KPP melaksanakan 11 kursus dengan jumlah penyertaan tertinggi iaitu 12,726 peserta.

Lima program utama

Selain kursus di bawah empat kluster berkenaan, IPPTAR turut memberi penekanan kepada lima program utama atau flagship bagi 2026 yang dirangka untuk memperluas keterlihatan dan impaknya dalam bidang media, komunikasi, teknologi serta kreativiti.

Lima program itu ialah Hari Bersama IPPTAR Tahun 2026, Seminar Komunikasi Pembujukan Berkesan: Menangi Hati Rakyat, Program AI Grand Prix 2.0, Evolusi Komunikasi 5G dan Catalysing Creativity@IPPTAR.

Catalysing Creativity@IPPTAR merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk menimba ilmu AI.

AI Grand Prix 2.0 pacu generasi kreatif

Program AI Grand Prix 2.0 menjadi antara inisiatif yang mencerminkan usaha IPPTAR memperkenalkan AI sebagai sebahagian daripada perkembangan ekosistem media dan kandungan kreatif.

Program berkaitan AI itu turut disokong beberapa inisiatif khas seperti Podcast: Hello AI Grand Prix 2.0, Seminar Reality Intelligence: AI Innovator Hub, Workshop Next Gen Content Creation dan Interactive Next Wave.

KIK fokus kreativiti, AI dan kandungan digital

Kluster Industri Kreatif (KIK) mencatatkan jumlah kursus tertinggi dengan 25 kursus membabitkan 3,653 peserta, sekali gus memperlihatkan komitmen IPPTAR memperkukuh kompetensi warga kerja dalam bidang industri kreatif, AI dan penghasilan kandungan digital.

Antara program yang diketengahkan ialah Kursus Kecerdasan Buatan (AI), Keselamatan Dalam Talian dan Etika Pelaporan Media, Workshop Next Gen Content Creation, Seminar Reality Intelligence: AI Innovator Hub dan Bengkel Social Media Strategies for Engagement sempena Pre-Summit Workshop dan 21st Asia Media Summit (AMS) 2026.

Ketua Kluster Industri Kreatif (KIK), Sumathy Vadiappan berkata, perkembangan pesat AI membuka ruang dan peluang baharu dalam penghasilan kandungan, selain mengubah cara pengamal media merancang, menghasilkan dan menyampaikan kandungan kepada khalayak.

SUMATHY

“Perkembangan AI telah membuka ruang baharu dalam penghasilan kandungan dan memberikan peluang kepada pengamal media untuk meneroka pendekatan yang lebih kreatif, inovatif dan berkesan.

“Teknologi ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kreativiti, produktiviti dan kecekapan dalam proses penciptaan kandungan, namun penggunaannya perlu disertai dengan pengetahuan serta pertimbangan yang sewajarnya.

“Pengamal media tidak sahaja perlu memahami cara menggunakan teknologi AI, malah perlu mempunyai kesedaran terhadap aspek ketepatan maklumat, etika, hak cipta dan privasi.

“Perkara ini penting bagi memastikan kandungan yang dihasilkan bukan sahaja menarik dan relevan, tetapi turut mempunyai nilai, kredibiliti dan tidak menjejaskan kepercayaan khalayak,” katanya.

KKP perkukuh kompetensi teknologi penyiaran

Kluster Kejuruteraan Penyiaran (KKP) pula melaksanakan 20 kursus dengan 1,045 peserta yang memberi fokus kepada pembangunan kompetensi teknikal dan teknologi penyiaran.

Ketua KKP, Ainnol Lilisuliani Ahmad Rasidi berkata, transformasi teknologi penyiaran memerlukan tenaga kerja yang sentiasa bersedia mempelajari, menguasai dan mengadaptasi teknologi baharu.

“Latihan teknikal yang disediakan IPPTAR membantu memastikan kompetensi peserta kekal relevan dengan keperluan operasi penyiaran masa kini, di samping memberi pendedahan kepada perkembangan teknologi dan amalan terbaik yang digunakan dalam industri.

“Dalam landskap penyiaran yang sentiasa berkembang, tenaga kerja perlu mempunyai keupayaan teknikal yang kukuh serta bersedia meneroka pendekatan dan teknologi baharu.

“Pendedahan secara teori dan praktikal melalui latihan yang bersesuaian dapat membantu peserta meningkatkan keyakinan serta kecekapan dalam mengendalikan sistem dan teknologi penyiaran,” katanya.

KKS perkasa komunikasi strategik

Kluster Komunikasi Strategik (KKS) melaksanakan 14 kursus dengan 338 peserta dengan penekanan kepada aspek komunikasi strategik dan cabaran pengurusan maklumat.

Antara kursus yang diketengahkan ialah Kursus GSPS dan Propaganda: Kepentingan dalam Pentadbiran Negara yang memberi fokus kepada aspek komunikasi strategik dalam konteks pentadbiran negara.

Ketua KKS, Rosmawati Mat Nor berkata, keupayaan mengurus komunikasi secara strategik kini menjadi keperluan bagi memastikan sesuatu mesej dapat disampaikan dengan jelas, tepat dan berkesan kepada kumpulan sasaran.

“Dalam era digital yang menyaksikan maklumat tersebar dengan pantas, peserta perlu mempunyai keupayaan untuk menilai maklumat secara kritis, memahami konteks komunikasi serta merangka mesej yang mampu membina kepercayaan dan keyakinan masyarakat.

“Pada masa sama, komunikasi strategik memerlukan perancangan yang teliti serta pemahaman terhadap khalayak, saluran komunikasi dan konteks sesuatu isu.

“Keupayaan mengurus mesej dengan tepat dan bertanggungjawab amat penting bagi memastikan komunikasi organisasi kekal berkesan, khususnya ketika berdepan perubahan landskap media dan penyebaran maklumat yang begitu pantas,” katanya.

KPP catat 12,726 peserta

Kluster Penyelidikan dan Penerbitan (KPP) melaksanakan 11 kursus, namun merekodkan jumlah penyertaan tertinggi iaitu 12,726 peserta.

Komponen Continuing Mentoring Education (CME) turut menjadi antara penyumbang utama kepada capaian berkenaan dengan 11,526 penyertaan bagi siri CME yang direkodkan dalam takwim tahunan KPP.

KPP turut melaksanakan kajian “Menilai Tahap Kefahaman dan Aplikasi AI dalam Kalangan Peserta Kursus di IPPTAR” dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekali gus memperlihatkan usaha IPPTAR menilai tahap penerimaan dan aplikasi AI dalam kalangan peserta latihan.

Ketua Kluster KPP, Mawardi Ka’ab berkata, data dan penyelidikan penting bagi memastikan pembangunan latihan IPPTAR sentiasa berasaskan keperluan sebenar.

MAWARDI

“Kajian berkaitan AI ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang tahap kefahaman dan aplikasi teknologi dalam kalangan peserta, sekali gus membantu IPPTAR mengenal pasti jurang pengetahuan dan kemahiran yang perlu diberi perhatian.

“Dapatan daripada kajian ini juga boleh dimanfaatkan sebagai input dalam pembangunan serta penambahbaikan kursus pada masa hadapan, khususnya dalam memastikan kandungan latihan berkaitan AI sentiasa relevan, praktikal dan selari dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri,” katanya.

Bina kompetensi, cetus inovasi

Pencapaian pelaksanaan kursus dan penyertaan peserta serta lima program flagship menunjukkan komitmen IPPTAR untuk terus memperkukuh ekosistem pembangunan kompetensi yang merangkumi AI, kreativiti, komunikasi strategik, teknologi penyiaran, penyelidikan dan pembelajaran berterusan.

IPPTAR akan terus memperkemas kandungan latihan dan memperluas program berimpak tinggi bagi memastikan peserta bukan sahaja menguasai pengetahuan, malah mempunyai keupayaan mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam persekitaran kerja sebenar.

“Kita mahu IPPTAR terus menjadi platform yang menghubungkan ilmu dengan aplikasi, teknologi dengan kreativiti dan latihan dengan keperluan sebenar industri.

“Fokus kita adalah membina tenaga kerja yang kompeten, adaptif dan bersedia menghadapi masa hadapan,” kata Mohammad Yusari Ameer.