SURAH al-Balad yang merupakan surah ke-90 dalam al-Quran mengandungi 20 ayat yang sarat dengan peringatan tentang hakikat kehidupan manusia serta jalan yang perlu ditempuh untuk menghadapi kesusahan dunia.
Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Shamsul Hakim Abd Samad menjelaskan, al-Balad yang bermaksud negeri atau tempat itu merujuk kepada bumi Makkah yang dimuliakan ALLAH SWT.
Menurutnya, kemuliaan bumi Makkah bukan sekadar kerana kedudukannya sebagai sebuah tempat, bahkan kerana sejarah dan manusia yang pernah hidup serta meninggalkan teladan besar untuk dijadikan pedoman.
“ALLAH SWT bersumpah dengan bumi Makkah yang sememangnya telah diketahui kemuliaannya dan dipilih untuk dimuliakan.
Menurutnya, tiga sumpah pada permulaan surah tersebut bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya mengandungi pelajaran penting mengenai bagaimana manusia seharusnya hidup di sebuah tempat yang dimuliakan ALLAH SWT.
Katanya, kemuliaan sesuatu tempat tidak bermakna kehidupan penghuninya akan sentiasa mudah dan bebas daripada ujian. Sebaliknya, ALLAH SWT menjelaskan dalam ayat keempat bahawa manusia diciptakan dalam keadaan menghadapi kesusahan.
“Imam Hasan al-Basri menjelaskan bahawa perkataan kabad merangkumi pelbagai bentuk kesusahan yang dihadapi manusia dalam kehidupan.
“Kita dapat melihatnya melalui kisah Nabi Ibrahim AS yang diuji dengan perpisahan daripada anaknya iaitu Nabi Ismail AS, menghadapi pelbagai ujian dan akhirnya diperintahkan untuk menyembelih anaknya.
Kesusahan tidak bermakna tiada jalan keluar
Bagaimanapun, Mohd Shamsul Hakim berkata, manusia sering berubah apabila dikurniakan sedikit kesenangan.
Menurutnya, manusia yang asalnya hidup dalam kesusahan boleh berubah menjadi sombong apabila diberikan kekuasaan, harta atau kedudukan sehingga merasakan dirinya mampu menentukan segala-galanya tanpa bergantung kepada ALLAH SWT.
“Namun akhirnya kita akan menyaksikan bahawa kuasa dan harta sebanyak mana pun tidak mampu merungkai kesusahan manusia sekiranya tidak melalui jalan yang ditentukan ALLAH SWT,” katanya.
Jelas beliau, surah al-Balad bukan sekadar mengingatkan manusia tentang hakikat bahawa kehidupan sememangnya penuh dengan kesusahan, malah ALLAH SWT turut memberikan panduan untuk merungkaikan kesusahan tersebut.
Katanya, manusia mungkin cuba mencari jalan penyelesaian berdasarkan pemikiran dan perancangan sendiri, namun langkah tersebut belum tentu menjamin keberhasilan.
“Inilah yang membezakan antara orang yang beriman dengan mereka yang menolak wahyu ALLAH SWT,” katanya.
Jalan merungkai kesusahan
Mohd Shamsul Hakim menjelaskan, surah al-Balad membimbing manusia kepada jalan yang perlu ditempuh bagi mengatasi kesusahan kehidupan melalui jalan iman, takwa, amal soleh dan mengikuti petunjuk wahyu ALLAH SWT.
Menurutnya, perkara tersebut dapat difahami menerusi ayat ke-17 dan ke-18 yang menggambarkan golongan beriman sebagai mereka yang saling berpesan supaya bersabar serta berkasih sayang.
“Jalan keimanan bukan sekadar menjanjikan kesenangan di dunia, bahkan membawa kepada kesenangan yang hakiki di akhirat.
“Sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi SAW, sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, ALLAH SWT akan memenuhi hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan saudaranya, ALLAH SWT akan melapangkan urusannya di dunia dan akhirat,” katanya.
Bagaimanapun katanya, manusia tetap mempunyai pilihan sama ada mahu beriman, mempercayai wahyu dan bertindak berdasarkan petunjuk tersebut atau sebaliknya.
“Apa yang dirasakan susah di dunia sebenarnya hanya sekelumit berbanding kesusahan yang bakal ditempuh di akhirat,” katanya.