KOTA TINGGI - Kawasan Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar di sini akan dipasang bendera merah dan papan tanda larangan mandi susulan tragedi lemas melibatkan enam remaja berusia 16 tahun pada Rabu.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendekatan itu turut dicadangkan di kawasan pantai yang mempunyai arus deras.
Menurut Azalina, pengunjung luar yang datang tidak mengetahui risiko dan keadaan arus lalu menganggap kawasan tersebut selamat untuk aktiviti air.
“Kalau tengok di kawasan ini memang tiada papan tanda larangan jadi saya minta tolong kepada Majlis Perbandaran Pengerang untuk segera bertindak,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni keluarga mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat, pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kawasan pantai berkenaan sebenarnya tidak dibuka kepada orang awam bagi aktiviti berkelah dan kebenaran hanya untuk nelayan menangkap ikan.
Justeru, perbincangan akan dibuat bersama pihak berwajib memandangkan pantai berkenaan juga tidak diselenggarakan mana-mana pihak.
Ujar Azalina, pantai di sepanjang Desaru merupakan laluan perdagangan dan mempunyai arus berbeza berbanding kawasan Terengganu, Mersing atau Pulau Tioman, Pahang.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan melakukan aktiviti air berikutan keadaan ombak besar dan angin kencang ketika ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat remaja dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di pantai
Alif Taqiudin ditemukan lemas, tiga lagi rakan masih hilang
Empat remaja lemas: 'Kami tak tahu adik pergi berkhemah di pantai’
Empat remaja lemas: 'Rakan-rakan cuba selamatkan Thaqif, tak sangka bertukar tragedi'
Muhammad Adib barbeku sempena merdeka bersama keluarga sebelum hilang di laut
Empat remaja lemas: Jasad mangsa kedua ditemui nelayan
Tragedi lemas: Sokongan psikologi, kaunseling diberi kepada mangsa terselamat