KUALA LUMPUR - Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) menggesa kerajaan menyiasat sebahagian 71 kontena yang didakwa menuju ke Israel kini berada di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Johor.
Pengerusi BDS Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail pada masa sama mendakwa, sebahagian lagi kontena dalam perjalanan menuju pelabuhan tersebut.
Menurutnya, kontena itu dipercayai membawa alatan membuat senjata untuk dihantar ke Elbit Systems, kilang pengeluar sistem persenjataan berpangkalan di Haifa.
Atas dasar itu, pihaknya memberi amaran kemungkinan wujud sistem rangkaian penghantaran bekalan ke Israel secara rutin dan tersusun.
"Pada 7 Ogos lalu, ada kapal kargo masuk ke PTP menuju Israel namun berjaya disekat. Apabila disiasat rupanya muatan dibawa adalah bahan untuk membuat senjata. Maknanya kali ini kemungkinan barang yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas membuat laporan polis kira-kira jam 10.30 pagi di Balai Polis Setiawangsa, di sini pada Jumaat.
Mohd Nazari mengakui hairan apabila PTP sering dijadikan port persinggahan sedangkan kerajaan selama ini lantang menyokong Palestin dan bertegas tidak membenarkan pelabuhan Malaysia dijadikan laluan perdagangan yang boleh menyumbang kepada kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
"Malah, kerajaan juga menyekat syarikat ZIM dari Israel menggunakan pelabuhan Malaysia. Tiba-tiba syarikat perkapalan dan logistik antarabangsa dari Denmark ini boleh hantar berpuluh-puluh kontena.
"Syarikat ini seolah-olah tak kisah dan cuba mencabar kedaulatan Malaysia bahkan tidak bimbang dengan tindakan yang mungkin dikenakan ke atasnya, sangat pelik," katanya.
Mohd Nazari tidak menolak kemungkinan muatan untuk membuat senjata itu diperoleh secara eksklusif dari negara-negara Asia antaranya Filipina, Vietnam dan Indonesia sebelum menggunakan laluan Selat Melaka serta hab PTP sebagai persinggahan.
Ditanya lebih terperinci mengenai maklumat yang diterima BDS Malaysia berhubung pergerakan keluar masuk kapal di pelabuhan tempatan, Mohd Nazari memaklumkan, pihaknya bekerjasama rapat dengan gerakan BNC.
Tambahnya, pekerja di syarikat perkapalan itu sendiri yang mendedahkan informasi sulit kepada BNC kerana terlalu bencikan penindasan ke atas rakyat Palestin.
Kata aktivis itu lagi, pekerja-pekerja di syarikat berkenaan menyokong perjuangan Palestin, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana kerajaan mereka membenarkannya.
"Jadi, ada antara mereka menyalurkan maklumat supaya negara-negara Islam khususnya Malaysia khususnya ambil tindakan.
"Bagi menghalang sepenuhnya kemungkinan Malaysia didakwa bersubahat dalam genosid, BDS Malaysia menggesa pihak berkuasa ambil tindakan segera termasuk menyekat dan merampas semua kontena menuju ke Israel.
"Kalau kita boleh sekat kemaraan kapal kontena di laluan Selat Melaka ini, susahlah untuk Israel dapat bahan atau komponen membuat senjata," ujarnya.