KUANTAN - Seorang pekerja sebuah syarikat penghantaran barang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas enam tuduhan menipu dengan menunjukkan transaksi pembayaran QR palsu dan tidak sepadan transaksi jualan harian di sebuah stesen minyak di sini antara Januari dan Februari lalu.
Tertuduh, Mohammad Ruzaini Ruzi, 26 didakwa menipu pekerja kedai stesen minyak berkenaan dengan mengemukakan transaksi pembayaran kod QR palsu melibatkan kerugian lebih RM356.
Lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan di hadapan Majistret Ellyana Othman.
Berdasarkan tiga pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, B Deevagaran Naidu, tertuduh didakwa menipu dua pekerja kedai stesen minyak di Jalan Bukit Ubi di sini dengan mengemukakan transaksi pembayaran kod QR palsu bagi pembelian rokok, aiskrim dan minuman berjumlah RM161.30.
Kesalahan itu dilakukan di premis kedai berkenaan antara 19 hingga 20 Januari lalu dengan setiap transaksi antara RM36.40 hingga RM62.40.
Sementara itu, bagi tiga lagi pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Wafi Mohd, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di premis berkenaan antara 22 hingga 3 Februari lalu berjumlah RM195. 20 bagi ketiga-tiga transaksi dilakukan.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi semua pertuduhan tersebut.
Jika sabit kesalahan, Mohammad Ruzaini berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 20 tahun, sebatan dan denda bagi setiap pertuduhan.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili Peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ditawarkan jaminan RM15,000 bagi tiga pertuduhan pertama dan RM12,000 bagi tiga pertuduhan berikutnya.
Bagaimanapun Syed Azimal bagi pihak anak guamnya itu merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan.
Menurutnya, anak guamnya yang sudah berkahwin hanya berpendapatan 1,700 sebulan tidak mampu membayar jumlah jaminan yang tinggi.
Mengambil kira rayuan itu, Ellyana membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM12,000 bagi semua pertuduhan sebelum menetapkan 25 September depan untuk tarikh sebutan semula kes itu.