Pas mahu pengaruh Penyatuan Ummah diperluas ke Pahang, Perak, Selangor - Abdul Hadi

Iklan
Abdul Hadi semasa memeriksa perbarisan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di PUTIK, Pengkalan Chepa di Kota Bharu pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Pas mahu agenda Penyatuan Ummah diperkukuh sebagai antara strategi utama menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), selain menyasarkan perluasan pengaruh parti ke Pahang, Perak dan Selangor.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh jentera parti perlu mengambil langkah strategik bagi memastikan prasyarat kemenangan dipenuhi, termasuk mempersiapkan jentera pilihan raya pada tahap maksimum kerana PRU16 boleh diadakan pada bila-bila masa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, Pas berkewajipan mengambil langkah politik yang berhikmah untuk menyatukan Melayu Islam dan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem sebagai sebuah masyarakat majmuk di Malaysia.

"Pada masa sama, perpaduan ummah tidak bererti menafikan hak masyarakat bukan Islam," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.

Iklan

Jelas beliau, usaha memperkukuh perpaduan umat perlu berjalan seiring dengan jaminan keadilan kepada masyarakat bukan Islam serta penghormatan terhadap kebebasan beragama dalam kerangka Perlembagaan.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu, Pas mahu mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi pada PRU15, selain memastikan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis terus menjadi negeri pangkalan parti.

Iklan

"Negeri-negeri ini mesti terus dikekalkan penguasaannya, diperkukuh pentadbirannya serta dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri," katanya.

Menurut beliau, Pas turut meletakkan Pahang, Perak dan Selangor sebagai negeri yang akan menyumbang kepada kemenangan seterusnya, sekali gus memperkukuh kedudukan Pas dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Parlimen.

Katanya, pencapaian Pas di Sabah dan pertambahan pengaruh di Negeri Sembilan pula perlu diisi dengan agenda kebajikan, integriti dan keadilan kepada semua.

"Di samping itu, kita perlu melonjakkan pencapaian di Melaka yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi," katanya.

Abdul Hadi memberitahu, tumpuan turut diberikan kepada pengundi atas pagar, pengundi kali pertama, pengundi muda, pengundi luar dan golongan ilmuwan yang dilihat sebagai segmen penting dalam menentukan kemenangan.