KUALA PILAH – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes pergaduhan di Dataran Melang di sini yang tular di media sosial membabitkan tiga remaja perempuan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu lepas.
"Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun telah hadir ke lokasi berkenaan bersama abangnya untuk bertemu dengan dua kenalan.
"Difahamkan pertemuan itu bagi berbincang berkaitan salah faham susulan penyebaran gambarnya di media sosial," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, semasa pertemuan tersebut, berlaku pergelutan antara pengadu dengan dua individu berkenaan sehingga menyebabkannya cedera.
Tambahnya, susulan insiden itu, dia bersama bapanya telah ke kediaman salah seorang individu terbabit pada Khamis untuk berbincang sebelum membuat laporan polis.
“Polis memandang serius kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan serta pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Muhamad Mustafah berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh disahkan, khususnya berkaitan identiti individu yang terlibat dalam kejadian.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-48429999 atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Sarjan Shamsuldalila Mohamad di talian 011-10129038 atau mana-mana balai polis berdekatan.