KOTA KINABALU - Sebanyak 463 laporan gegaran diterima Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang berlaku di Keningau, setakat jam 11.30 pagi Khamis.
Bagaimanapun, kejadian gempa bumi ini bukan kali pertama berlaku di daerah berkenaan apabila rekod pemantauan dan analisis seismik menunjukkan Keningau pernah mengalami beberapa siri gempa bumi lemah sebelum ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, gempa bumi pada jam 9.31 pagi itu dikesan MET Malaysia menerusi Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional pada kedalaman 10 kilometer.
"Berdasarkan analisis teknikal seismologi yang dikemas kini, pusat gempa bumi itu terletak pada koordinat 5.3 darjah Utara dan 116.11 darjah Timur, iaitu kira-kira 10 kilometer di barat Keningau.
"Gegaran akibat gempa bumi ini dirasai secara nyata oleh penduduk di sekitar daerah Keningau. Sehingga jam 11.30 pagi, MET Malaysia menerima sebanyak 463 laporan gegaran daripada orang awam berhampiran," katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Pensiangan itu turut berkata, rekod pemantauan dan analisis seismik menunjukkan Keningau pernah mencatatkan beberapa siri gempa bumi lemah sebelum ini.
"Ini termasuk kejadian pada 2019, 2023 dan 6 Oktober 2024.
"Kejadian yang berlaku hari ini merupakan sebahagian daripada pelepasan tenaga tektonik tempatan di rantau berkenaan," katanya.
Menurutnya, MET Malaysia akan terus memantau dengan rapi sebarang aktiviti gempa susulan di kawasan terbabit serta komited menyampaikan perkembangan terkini secara telus dari semasa ke semasa.
"Kementerian turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang atau panik kerana gempa bumi yang dicatatkan ini berada pada magnitud lemah dan tidak menimbulkan ancaman tsunami.
"Orang ramai juga diharap tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat," katanya