KOTA KINABALU - Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan konsep kuantum dalam Ilmu Tauhid menurut Tarmizi Taha yang turut menerapkan ideologi New Age Movement adalah menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Waljamaah.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, keputusan itu dibuat menerusi persidangan Majlis Fatwa Negeri Sabah Bilangan 3 Tahun 2026 yang turut membincangkan beberapa isu semasa berkaitan pemeliharaan akidah, syariah dan pembinaan sahsiah umat Islam di negeri ini.
"Sehubungan itu, saya ingin menarik perhatian keputusan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah berhubung dengan dua perkara yang utama.
"Yang pertama ialah kita telah membincangkan konsep Quantum dalam Ilmu Tauhid menurut Tarmizi Taha. Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan bahawa ajaran ini menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Waljamaah serta mencemari disiplin ilmu Islam.
"Ringkasan penyelewengan utama ajaran ini meliputi penerapan ideologi New Age Movement menerusi kepercayaan terhadap pegangan mistik quantum (quantum mysticism) membawa fahaman wahdatul wujud mulhidah dan panteisme melalui dakwaan bahawa kewujudan ALLAH SWT dan alam adalah bersatu atau sama, sekali gus menyamakan pencipta dengan makhluk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri persidangan Majlis Fatwa Negeri Sabah yang berlangsung selama dua hari, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Bungsu berkata, dari aspek tasawuf pula, ajaran berkenaan didapati menyelewengkan pemikiran ulama seperti Imam Al-Ghazali dengan memetik kenyataan mereka di luar konteks bagi menyokong fahaman quantum mysticism dan monisme moden.
"Menjadikan doa dan zikir sebagai mekanisme frekuensi dan getaran kosmik, bukan hanya sekadar ibadah, pengabdian, dan penggantungan mutlak kepada ALLAH SWT dan sebagainya," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Majlis Fatwa Negeri Sabah menasihati seluruh umat Islam di negeri ini supaya menjauhi ajaran dan pegangan berkenaan serta tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam sebarang bentuk penyebaran, ceramah mahupun program berkaitan.
"Begitu juga dengan apa juga ajaran yang serupa ini yang boleh membawa kepada penyelewengan prinsip akidah Ahli Sunnah Waljamaah di Negeri Sabah ini," katanya.
Sementara itu, Bungsu berkata, satu lagi perkara yang diputuskan dalam persidangan berkenaan ialah memperakui Garis Panduan Motivasi Berunsur Islam Negeri Sabah sebagai panduan dan rujukan masyarakat Islam di negeri ini.
Menurutnya, garis panduan itu bertujuan memastikan penganjuran program motivasi, pembangunan diri dan kaunseling spiritual tidak bercanggah dengan hukum syarak serta prinsip ajaran Islam.
"Bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara, Majlis Fatwa Negeri Sabah telah memperakui Garis Panduan Motivasi Berunsur Islam Negeri Sabah yang akan menjadi panduan dan rujukan masyarakat Islam di negeri ini.
"Garis panduan ini disediakan khusus bagi memastikan sebarang penganjuran program motivasi, pembangunan diri, serta kaunseling spiritual di negeri ini dilaksanakan bertepatan dengan hukum syarak serta memenuhi prinsip-prinsip utama akidah, syariah, dan akhlak Islamiah," katanya.
Bungsu berkata, garis panduan itu amat penting susulan perkembangan pendekatan motivasi Barat yang berteraskan ideologi sekular, pemikiran New Age Movement seperti Law of Attraction serta mistik moden yang kini mendominasi pasaran secara meluas.
Katanya, tanpa panduan yang jelas dan tegas, modul motivasi sedemikian berisiko menjadi saluran penyebaran fahaman yang bercanggah dengan akidah Islam.
"Majlis Fatwa Negeri Sabah menyeru semua penganjur program motivasi, penceramah, perunding, latihan, dan seumpamanya agar sentiasa merujuk serta mematuhi garis panduan ini dalam setiap pelaksanaan aktiviti dan program motivasi," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pejabat Mufti Negeri Sabah akan terus bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) selaku agensi penguatkuasaan bagi menjalankan pemantauan berterusan.