New Age Movement dijangka jadi ajaran sesat ke-18 diwartakan di Sabah

Iklan
Mohd Arifin (empat dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Isnin (tiga dari kanan) semasa majlis penyerahan van jenazah Muis di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - New Age Movement (NAM) dijangka menjadi ajaran sesat ke-18 yang diwartakan di negeri ini, susulan keputusan Majlis Fatwa Negeri Sabah bahawa konsep kuantum dalam ilmu tauhid menurut Tarmizi Taha, termasuk ideologi berkenaan, menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya bagaimanapun akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah berhubung keputusan terbaharu itu sebelum proses pewartaan dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH yang NAM ini apabila telah diputuskan oleh Pejabat Mufti dan kita akan wartakan (ke-18)," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan van jenazah Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) di Wisma Innoprise, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Arifin berkata, setakat ini sebanyak 17 ajaran telah disenaraikan, namun perkara lebih utama adalah memastikan masyarakat mendapat kesedaran dan maklumat yang jelas mengenai ajaran menyeleweng.

"Setakat ini 17 (disenaraikan) dan yang sangat penting bukan jumlahnya tapi bagaimana kita memberikan kesedaran, maklumat, keinsafan kepada masyarakat tentang perkara ini.

Iklan

"Satu lagi yang sangat penting apabila kita ragu-ragu terhadap mana-mana ajaran yang datang kepada kita maka kita jangan juga ragu-ragu untuk merujuk terus kepada pihak yang berwibawa, Muis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ada seluruh daerah, kemudian Pejabat Mufti sudah pasti," katanya.

Ketika diminta menjelaskan kekeliruan dalam kalangan warga net mengenai istilah ajaran menyeleweng, beliau berkata, terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam enakmen berkaitan termasuk doktrin palsu, ajaran sesat dan ajaran salah yang perlu ditentukan oleh pihak berautoriti.

"Ya, ajaran sesat, ajaran palsu ada dalam enakmen berkenaan. Doktrin palsu istilahnya. Kemudian ajaran menyeleweng, ajaran salah dan ini kepastiannya mesti daripada Muis, JHEAINS dan Jabatan Mufti.

"Kita tidak boleh sembarangan menyatakan ini sesat, salah, mesti yang tersenarai daripada yang difatwakan oleh Muis," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai majlis tersebut, Mohd Arifin memaklumkan sebanyak 13 van jenazah bernilai RM170,000 setiap satu diserahkan kepada kawasan yang dikenal pasti menerusi Muis melalui Bahagian Zakat dan Fitrah.

"Ini bagi memudahkan urusan pengendalian jenazah serta membantu masyarakat setempat di kawasan tersebut," katanya.