PUTRAJAYA - Bentuk rasuah pada masa kini tidak semestinya berlaku melalui transaksi tunai secara terang-terangan, sebaliknya semakin kompleks dengan melibatkan konflik kepentingan, kronisme, nepotisme, manipulasi proses dan campur tangan dalam keputusan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, antara bentuk lain yang perlu diberi perhatian termasuk penyalahgunaan maklumat, pengaruh tidak wajar, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan teknologi.
"Perkembangan teknologi dan perubahan persekitaran organisasi turut mewujudkan bentuk risiko rasuah serta salah guna kuasa yang baharu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kepimpinan Masa Depan Memperkasa Governan, Integriti & Inovasi (LEAD-GOV 2026) anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini pada Rabu.
Turut hadir, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Massila Kamalrudin.
Azmi berkata, keadaan itu memerlukan kepimpinan strategik yang mampu memahami perubahan, mengurus risiko dan memanfaatkan inovasi tanpa mengabaikan nilai, etika serta integriti dalam setiap keputusan.
"Kepimpinan tanpa integriti boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa, inovasi tanpa governans boleh menghasilkan risiko baharu.
"Manakala governans tanpa inovasi pula boleh menyebabkan organisasi menjadi terlalu birokratik, perlahan dan akhirnya ketinggalan," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa penggunaan teknologi tidak semestinya menjamin wujudnya governans yang baik sekiranya aspek integriti dan kawalan tidak diberi perhatian.
"Jika sistem digital dibina tanpa kawalan integriti, ia hanya akan mendigitalkan kelemahan lama. Jika data tidak berkualiti, keputusan berasaskan data juga boleh salah.
"Jika akses kepada data tidak dikawal, teknologi boleh menjadi alat penyalahgunaan," katanya.
Azmi turut mengambil contoh Ops Hack yang dijalankan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), membabitkan penahanan 12 individu termasuk empat pegawai JIM dan dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM.
Jelasnya, kes itu berkaitan kegiatan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
"Kes berkenaan menunjukkan sistem digital juga boleh dimanipulasi oleh individu tidak berintegriti untuk menjalankan kegiatan haram.
"Justeru, kita tidak hanya memerlukan digital transformation tetapi digital transformation yang beretika dan berintegriti," katanya.
Sementara itu, beliau menggariskan empat prinsip asas governans berintegriti yang perlu diberi perhatian iaitu ketelusan, akauntabiliti, integriti dan pengurusan risiko.
Beliau turut menggesa pengurusan tertinggi organisasi memberikan komitmen serta sokongan kepada Unit Integriti dan Unit Audit Dalam bagi memastikan fungsi kedua-dua unit itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, sokongan berkenaan penting dalam memperkukuhkan governans organisasi selain meminimumkan serta menutup ruang dan peluang berlakunya risiko yang boleh memudaratkan organisasi.