KOTA BHARU – Pas menegaskan parti itu berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) pada bila-bila masa, termasuk jika kerajaan memutuskan untuk mengadakannya lebih awal.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak mempunyai sebarang masalah sama ada PRU16 diadakan lebih awal atau mengikut tempoh yang ditetapkan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada kerajaan.
Menurut beliau, persiapan menghadapi pilihan raya sentiasa dilakukan, termasuk dari segi pemilihan calon yang akan diketengahkan.
“Calon kita, serahlah. Memang ada... insya-ALLAH, insya-ALLAH.
“Kita ramai, ramai,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-65 di sini pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpandangan bahawa PRU16 wajar diadakan lebih awal, sebelum menghampiri penghujung penggal Parlimen yang dijadualkan berakhir pada hujung tahun depan.
Menurut Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah tersebut membolehkan mandat untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan diperoleh semula daripada rakyat.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa Pas mempunyai ramai calon yang boleh dipertimbangkan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Mengulas mengenai kelebihan sekiranya PRU16 diadakan lebih awal, beliau berkata, perkara itu bukan sesuatu yang asing bagi Pas.
“Kita biasa sahaja. Kita pernah mengalami keadaan dalam Malaysia ini yang tidak memaklumkan tarikh pilihan raya lebih awal, sedangkan ada negara lain berbuat demikian.
“Terserah kepada kerajaan,” katanya.