CYBERJAYA – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) membuka rundingan awam selama 45 hari berhubung cadangan Garis Panduan untuk Pempengaruh dan Kerjasama Jenama, yang merangkumi pelbagai risiko baharu dalam ekonomi pencipta kandungan.
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, rundingan yang dibuka sehingga 30 September depan itu mencerminkan perubahan pesat dalam peranan pempengaruh pada masa kini.
“Tujuan rundingan ini adalah untuk memastikan kita dapat mencapai titik keseimbangan yang paling tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, orang ramai, pencipta kandungan, jenama, agensi, penyedia platform, warga pendidik, persatuan pengguna, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain digalakkan menyemak draf garis panduan tersebut serta mengemukakan maklum balas menerusi laman sesawang www.contentforum.my.
“CMCF akan menyemak dan meneliti setiap maklum balas yang diterima sebelum memuktamadkan garis panduan berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mediha berkata, pemasaran pempengaruh kini memberi impak yang jauh melangkaui pengiklanan konvensional.
Menurutnya, sektor itu kini terlalu penting untuk ditadbir berdasarkan andaian semata-mata, manakala peraturan atas kertas sahaja juga tidak mencukupi.
“Garis panduan ini perlu berfungsi secara praktikal dalam situasi sebenar, apabila pencipta kandungan cuba memahami keperluan pendedahan, ibu bapa bimbang tentang kandungan yang ditonton anak-anak mereka, dan pengguna pula perlu menentukan sama ada sesuatu cadangan itu boleh dipercayai.
“Sebab itulah maklum balas daripada orang ramai amat penting,” katanya.
Beliau menjelaskan, garis panduan itu bertujuan membantu pencipta kandungan dan perniagaan yang bertanggungjawab membuat pertimbangan lebih baik sebelum sesuatu kandungan diterbitkan.
Draf berkenaan dibangunkan selama beberapa bulan melalui kerjasama dengan pencipta kandungan, jenama, agensi, pengiklan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil, pendukung keselamatan kanak-kanak serta pakar industri.
Antara isu yang diberi perhatian termasuk pempengaruh maya dan yang dijana kecerdasan buatan (AI), dakwaan mengelirukan atau tidak berasas, eksploitasi kanak-kanak, promosi kewangan dan kesihatan serta penggunaan pengikut dan keterlibatan palsu.
Ia turut meliputi produk yang tertakluk kepada had umur, imej tubuh yang diubah secara digital, taktik jualan melalui penstriman langsung, peraduan dan pemberian hadiah, kewartawanan awam serta kandungan yang menyerupai laporan berita, selain sensitiviti budaya dan agama.
Bagi melindungi kanak-kanak yang kerap muncul dalam kandungan menjana pendapatan termasuk pempengaruh kanak-kanak atau kidfluencer, draf itu mencadangkan larangan terhadap kandungan yang sengaja menimbulkan ketakutan, tekanan emosi, rasa malu atau penghinaan semata-mata untuk meraih keterlibatan.
Draf tersebut turut mencadangkan supaya pempengaruh maya atau yang dijana AI tidak mendakwa mempunyai pengalaman peribadi yang mustahil dialami mereka sendiri.
Sebarang penggunaan AI atau pengubahan digital yang mengubah persepsi terhadap sesuatu produk, hasil atau penampilan manusia secara ketara juga perlu didedahkan dengan jelas.
Dalam pada itu, pemasaran pempengaruh yang melibatkan imej tubuh turut diberi perhatian khusus. Kandungan komersial tidak seharusnya mengeksploitasi rasa rendah diri atau mempromosikan bentuk tubuh ideal yang tidak sihat.
Imej yang diubah secara digital sehingga mengubah bentuk atau saiz tubuh, atau penampilan kulit secara ketara, juga perlu dinyatakan dengan jelas.
Garis panduan itu turut menyentuh peranan pempengaruh kewangan atau finfluencer, dengan mengingatkan pencipta kandungan bahawa promosi berkaitan pelaburan, termasuk aset digital atau produk pasaran modal, mungkin tertakluk kepada syarat dan keperluan berasingan di bawah peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Draf tersebut juga menyasarkan amalan yang direka khusus untuk mewujudkan kredibiliti palsu atau memberi tekanan kepada pengguna supaya bertindak segera.
Pengikut palsu, komen berbayar, testimoni rekaan dan pelbagai bentuk manipulasi lain yang mengelirukan tidak seharusnya digunakan semata-mata bagi mewujudkan tanggapan palsu mengenai populariti atau tahap kepuasan pengguna.
CMCF turut menegaskan bahawa tanggungjawab tidak terletak pada pencipta kandungan semata-mata, sebaliknya jenama dan agensi juga perlu bertanggungjawab terhadap cara sesuatu kempen dirancang, diluluskan dan dipantau.
Ahli Majlis CMCF yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Association of Accredited Advertising Agents Malaysia (4As), Andrew Lee berkata, garis panduan itu mengadaptasi prinsip pengiklanan sedia ada ke dalam persekitaran media yang berubah dengan pantas.
“Pada masa ini, sebahagian daripada pengiklanan yang paling berpengaruh tidak lagi kelihatan seperti iklan.
“Pemasaran yang diterajui pencipta kandungan telah menjadi sebahagian besar daripada ekonomi pengiklanan dan standard yang lebih jelas dapat memberikan kepastian kepada pencipta kandungan, jenama dan agensi mengenai batas yang perlu dipatuhi, sekali gus membantu melindungi kepercayaan yang menjadi asas kepada nilai ekosistem ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Dasar Awam TikTok Malaysia, Firdaus Fadzil berkata, panduan yang jelas dan praktikal mampu menyokong perkembangan ekonomi pencipta kandungan di Malaysia secara bertanggungjawab.
Beliau yang juga ahli CMCF menyambut baik pendekatan itu dan menyifatkannya sebagai satu proses yang bersifat perundingan dan kolaboratif dalam membangunkan panduan praktikal bagi kerjasama antara pencipta kandungan dan jenama di Malaysia.
“Pemahaman yang lebih jelas mengenai ketelusan dan amalan kandungan yang bertanggungjawab dapat membantu pencipta kandungan, jenama dan khalayak membina kepercayaan seiring perkembangan ekonomi pencipta kandungan di negara ini.
“Panduan ini perlu kekal praktikal, mudah difahami dan mengambil kira realiti kerjasama antara pencipta kandungan dengan jenama pada masa kini, di samping menghormati hak serta melindungi kebebasan bersuara rakyat Malaysia,” katanya.