KOTA BHARU - Dewan Ulamak Pas perlu menguasai media sosial dan tidak lagi bergantung kepada kaedah penyampaian ilmu secara konvensional dalam usaha mendekati generasi muda.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, setiap negeri juga disaran mempunyai podcast yang dikendalikan sendiri oleh Dewan Ulama sebagai platform menyampaikan ilmu, membincangkan isu semasa serta memberi panduan kepada masyarakat.
Menurut beliau, perkembangan media sosial menyebabkan pelbagai isu berkaitan agama dan politik dibahaskan secara terbuka, sekali gus memerlukan golongan ulama tampil memberikan penjelasan berasaskan syariat dan kaedah fiqah.
"Dewan Ulamak Pas mesti menjadikan penguasaan media sosial sebagai satu keperluan.
Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-65 di sini.
Ahmad memberitahu, pendekatan itu penting supaya golongan ulama tidak dilihat hanya berada di mimbar atau institusi pengajian, sebaliknya turut hadir di ruang digital yang menjadi medan utama masyarakat mendapatkan maklumat.
Jelas beliau, Dewan Ulamak juga perlu memperkasa ulama pelapis yang lebih mesra media dan bersifat 'down to earth' bagi mendekati anak muda.
"Isu yang dibahaskan di ruangan sebenar mahupun media sosial memerlukan panduan syariat dan kaedah fiqah.
"Ulama Rabbani harus turun ke lapangan mendengar permasalahan rakyat," katanya.
Beliau memberitahu, pendekatan berkenaan juga penting bagi membetulkan kekeliruan berkaitan ideologi dan doktrin yang bercanggah dengan Islam, termasuk dalam isu agama dan politik yang semakin rancak diperdebatkan dalam kalangan anak muda di media sosial.
Ahmad turut menyeru supaya Dewan Ulamak memberi ruang dan sokongan kepada golongan guru pondok, badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta tokoh akademik untuk bersama-sama menyemarakkan suluhan ilmu melalui pelbagai platform.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, ulama Rabbani perlu memiliki ilmu, kefahaman dan kebijaksanaan dalam memastikan prinsip pelaksanaan syariat dapat diterapkan ketika berdepan isu serta permasalahan masyarakat.
Tambahnya, Dewan Ulamak Pas turut perlu memperkemaskan organisasi di semua peringkat selain memperkukuhkan jati diri ulama Rabbani bagi menghadapi cabaran politik dan masyarakat semasa.
"Sekarang sebanyak 159 Dewan Ulamak Kawasan telah berjaya ditubuhkan.
"Tiga perkara perlu diberi perhatian iaitu memperkemaskan organisasi, memperkukuhkan jati diri ulama Rabbani dan membawa neraca keilmuan serta perbahasan fiqah ke lapangan rakyat, negeri dan negara," katanya.
Beliau memberitahu, usaha melahirkan ulama yang mampu membimbing masyarakat juga selari dengan tuntutan tafaqquh fid-din iaitu memperdalam ilmu agama sebelum menyampaikannya kepada masyarakat.
Ujar Ahmad, golongan ulama bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah perlu membimbing kepimpinan supaya mampu membina legasi dan memimpin masyarakat dengan pandangan jauh.