Rusia didakwa bantu Iran bangun peluru berpandu supersonik

Iklan
Peluru berpandu balistik permukaan ke permukaan Khaibar yang mempunyai jarak sehingga 2,000 kilometer dipamerkan di Teheran. Foto WANA

MOSCOW - Rusia didakwa secara rahsia membantu Iran membangunkan teknologi peluru berpandu kruis supersonik yang berpotensi digunakan untuk menyerang kapal serta sasaran di darat.

Menurut laporan Financial Times (FT), program dengan nama kod C430L itu bermula pada 2023 dan diatur oleh syarikat pengeksport senjata milik kerajaan Rusia, Rosoboronexport dengan kerjasama NPO Mashinostroyenia.

Iklan
Iklan

NPO Mashinostroyenia merupakan syarikat pertahanan Rusia yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS).

Laporan itu mendakwa pegawai eksport senjata Rusia dan beberapa jurutera kanan syarikat berkenaan melakukan beberapa lawatan ke Iran sepanjang 2023.

Iklan

Antara mereka termasuk pakar dalam reka bentuk peluru berpandu, sistem pendorong supersonik serta aerodinamik dan balistik.

FT turut melaporkan seorang pegawai kanan Rosoboronexport, Vladislav Kuzmichev menyertai salah satu lawatan tersebut sebelum terlibat dalam rundingan kontrak C430L dengan Iran.

Iklan

Menjelang 2025, NPO Mashinostroyenia didakwa menerima beberapa bahan teknikal daripada Iran untuk dianalisis oleh jurutera Rusia.

Dokumen yang dilihat FT pada April 2025 turut menunjukkan Rosoboronexport mencadangkan penghantaran sekumpulan pakar Rusia ke Iran bagi membantu menjawab beberapa persoalan teknikal.

Pakar peluru berpandu Iran dari organisasi Conflict Armament Research, Fabian Hinz berkata, pemindahan teknologi bukan hanya membabitkan penghantaran pelan atau komponen.

Menurutnya, pengalaman jurutera berpengalaman yang dihantar untuk menyelesaikan masalah teknikal turut mempunyai nilai besar dalam pembangunan sistem persenjataan.

Laporan itu muncul ketika hubungan Moscow dan Teheran semakin rapat.

Pada Selasa, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengucapkan terima kasih kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin atas sokongan Moscow terhadap Teheran ketika kedua-duanya bertemu di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Bishkek, Kyrgyzstan.

Putin pula berkata, Rusia akan terus memberikan bantuan diperlukan kepada Iran dan mengekalkan hubungan ekonomi serta perdagangan walaupun berdepan keadaan ketenteraan dan politik semasa.

Pezeshkian turut menegaskan Iran dan Rusia akan mencari kaedah untuk mengatasi sekatan AS menerusi kerjasama pelbagai hala. - Agensi