Larangan merokok masih sekadar notis?

Iklan
Larangan merokok di restoran hanya berkesan apabila menjadi norma masyarakat, bukan sekadar peraturan kerana takut didenda. Foto hiasan

LARANGAN merokok di premis makanan bukan perkara baharu, namun sejauh manakah ia benar-benar dipatuhi apabila masih terdapat pelanggan yang selamba menghisap rokok ketika orang lain sedang menikmati hidangan?

Hampir setiap kali menjamu selera, penulis pasti terlihat seorang atau dua pelanggan merokok secara terbuka, seolah-olah notis larangan pada dinding dan meja makan tidak bermakna.

Iklan
Iklan

Sedangkan tanda amaran jelas terpampang, malah larangan itu turut disertai tindakan kompaun terhadap yang ingkar.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari 2020, termasuk tindakan terhadap perokok yang ingkar.

Iklan

Kesalahan merokok di kawasan larangan boleh dikenakan kompaun RM250, manakala kegagalan membayar boleh membawa denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Jadi, di mana silapnya? Adakah hukuman sedia ada belum cukup menggentarkan atau masyarakat masih menganggap merokok di restoran perkara kecil?

Iklan

Merokok di premis makanan bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan kesihatan awam, khususnya ibu mengandung, bayi dalam kandungan dan kanak-kanak.

Asap rokok pasif meningkatkan risiko kelahiran pramatang, berat lahir rendah dan penyakit pernafasan seperti asma. Kesihatan dan nyawa mereka tidak wajar digadai akibat keingkaran segelintir pihak.

Pada masa sama, pematuhan larangan ini bukan tanggungjawab penguat kuasa semata-mata

Pengusaha restoran dan pekerja perlu berani menegur pelanggan secara berhemah apabila berlaku pelanggaran. Orang awam juga boleh membuat aduan melalui JomLapor di jomlapor.com atau WhatsApp 010-860 8949.

Namun, teguran perlu dibuat berhati-hati kerana boleh mencetuskan pertelingkahan. Misalnya, April lalu, seorang lelaki yang menegur individu merokok di sebuah restoran nasi kandar di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, Selangor dilaporkan terlibat dalam pergaduhan.

Satu lagi kes September 2025, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan polis selepas bertindak agresif dan bergaduh dengan pasangan suami isteri kerana ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam.

Dua kejadian itu menunjukkan bahawa usaha membentuk budaya tidak merokok di tempat awam perlu disertai pendidikan mengenai cara menegur tanpa mencetuskan provokasi.

Justeru, penyelesaian tidak boleh bergantung pada kompaun semata-mata. Penguatkuasaan perlu konsisten, khususnya di lokasi kerap menerima aduan, selain pemeriksaan berkala dan tindakan lebih tegas terhadap pesalah berulang.

Langkah kerajaan melarang penjualan rokok secara terbuka dan mewajibkan pameran bertutup dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) untuk mengurangkan tarikan visual dan jualan spontan di kedai.

Pada masa sama, kempen kesedaran perlu bergerak daripada sekadar memaparkan notis kepada yang lebih dekat dengan masyarakat.

Pengusaha pula perlu memastikan tanda larangan mudah dilihat serta pekerja mengetahui prosedur apabila berdepan pelanggan yang ingkar.

Akhirnya, larangan merokok di restoran hanya berkesan apabila menjadi norma masyarakat, bukan sekadar peraturan kerana takut didenda.

Selagi asap rokok dianggap hak peribadi di ruang awam, selagi itulah usaha melindungi hak orang lain menikmati makanan dalam persekitaran sihat berdepan cabaran.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad masih Menteri Kesihatan yang menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam diperkenalkan pada Januari 2019 sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya Januari 2020.

Justeru, penguatkuasaan perlu diperkasakan dengan tindakan lebih tegas kerana masih ramai merokok secara terbuka dan membuang puntung sesuka hati.

*Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Melaka