Caruman 0.75 peratus Skim LINDUNG 24 Jam pelaburan berbaloi - MTUC Sarawak

Iklan
Zaidi (gambar kecil) berkata, perlindungan 24 jam memberikan ketenteraman jiwa kepada pekerja kerana kebajikan mereka dan keluarga tidak terhenti sebaik sahaja waktu bekerja tamat. Foto hiasan

KUCHING - Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Skim LINDUNG 24 Jam dengan caruman tambahan 0.75 peratus menjadi pelaburan penting dalam memberi perlindungan menyeluruh kepada pekerja dan keluarga ketika berdepan musibah.

Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak, Zaidi Nasar berkata, kadar caruman itu munasabah berbanding manfaat yang bakal diterima, termasuk kos rawatan, faedah hilang upaya dan elaun orang tanggungan.

Iklan
Iklan

"Perlindungan sosial adalah hak asas setiap pekerja dan Skim Lindung 24 Jam memastikan pekerja serta keluarga mereka sentiasa dilindungi, bukan sahaja ketika bekerja tetapi juga di luar waktu kerja.

"Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, skim ini memastikan setiap sumbangan tetap memberi pulangan dalam bentuk perlindungan menyeluruh yang amat bernilai," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Zaidi berkata, perlindungan 24 jam turut memberikan ketenteraman jiwa kepada pekerja kerana kebajikan mereka dan keluarga tidak terhenti sebaik sahaja waktu bekerja tamat.

"Skim ini diwujudkan hasil proses perbincangan menyeluruh bersama pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus mencerminkan semangat libat urus yang telus dan inklusif.

Iklan

"Kita juga menghargai suara serta kebimbangan pekerja berhubung skim berkenaan, namun manfaat perlindungan yang lebih menyeluruh perlu turut dinilai dari sudut kesejahteraan pekerja dan keluarga," katanya.

Jelas beliau, pelaksanaan skim berkenaan selaras dengan prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa yang mengiktiraf perlindungan sosial sebagai hak asas pekerja.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja yang terlibat dalam kemalangan di luar waktu bekerja.

Caruman skim itu diwajibkan secara mandatori kepada semua pekerja asing di Malaysia bagi memastikan mereka mendapat perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

Bagaimanapun, skim berkenaan tidak diwajibkan kepada pekerja tempatan berikutan kewujudan pelbagai skim perlindungan komprehensif lain yang disediakan PERKESO.