MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kegembiraan dua sahabat mandi di Pantai Klebang di sini bertukar cemas selepas seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian pada petang Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 3.03 petang.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian dan mendapati seorang lelaki dikenali Muhamad Arif Daniel Nizamuddin,18, dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai berkenaan berhampiran pangsapuri PRIMA Klebang bersama rakannya.
"Operasi pencarian mangsa sedang dijalankan dengan kekuatan 14 anggota bomba dan turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Sementara itu, rakan mangsa, Hakeem Putra Mahadi, 18, berkata, mereka yang sudah berkawan sejak Tingkatan Satu datang ke pantai itu untuk meluangkan masa bersama.
Katanya, keadaan bertukar cemas selepas melihat rakannya seperti berada dalam kesusahan ketika berada di dalam air.
"Saya cuba bantu selamatkan dia tetapi tidak berjaya sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
"Ketika itu yang berada di lokasi hanya saya, dia dan seorang pemancing. Dia pernah beritahu saya yang dia tidak boleh berenang, tetapi bapanya pula pernah memberitahu dia boleh berenang," katanya.