Insiden Jambatan Victoria: Peniaga terjejas, pelancong kecewa

Iklan

KUALA KANGSAR – Insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari Jambatan Victoria, Enggor di sini pada Isnin lalu bukan sahaja mengundang kebimbangan mengenai aspek keselamatan malah turut menjejaskan pendapatan peniaga di kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan mendapati kebanyakan pelancong yang datang hanya singgah sebentar dan terus pulang malah ada juga sekadar melalui jambatan berkenaan selepas melihat pita larangan diletakkan di laluan masuk utama ke jambatan berkenaan.

Iklan
Iklan

Hanya tiga daripada lima Mykiosk yang berada berhampiran jambatan tersebut masih beroperasi manakala selebihnya tutup.

Peniaga, Ishak Othman, 52, berkata, jumlah pengunjung merosot ketara selepas kawasan jambatan ditutup susulan kejadian berkenaan.

Iklan

Menurutnya, keadaan itu memberi kesan besar kepada peniaga yang bergantung kepada kehadiran pelancong terutama ketika hujung minggu dan cuti sekolah.

Iklan

“Biasa kalau cuti umum yang lama, jualan boleh mencecah kira-kira 100 biji kelapa, tetapi selepas kejadian ini hanya tujuh atau lapan biji sahaja yang terjual itu pun kebanyakannya kepada orang kampung.

“Kami harap pihak berkaitan fikirkan sesuatu dan jangan tutup semua kawasan. Jika ada kawasan yang bahaya, sekat bahagian itu sahaja supaya pelancong masih boleh singgah sementara kerja pembaikan dilakukan segera,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Ishak berkata, pada hari biasa jumlah pengunjung boleh mencecah sekitar 2,000 orang manakala ketika cuti panjang jumlahnya lebih tinggi termasuk pelancong dari luar negara.

Katanya, peniaga turut menanggung kos operasi seperti sewa kiosk, pembelian bekalan serta gaji pekerja meskipun hasil jualan merosot.

Sementara itu, pelancong dari Shah Alam, Reazal Effendy Abu Samad, 43, berkata, dia tetap membawa keluarganya berkunjung ke Jambatan Victoria meskipun mengetahui kejadian yang berlaku sehari sebelumnya.

Menurutnya, Jambatan Victoria sememangnya mempunyai tarikan tersendiri sebagai lokasi bersejarah, namun aspek keselamatan terutama bagi kanak-kanak perlu diberikan perhatian.

Dia yang kali kedua mengunjungi lokasi itu berkata, ketika datang kira-kira 10 tahun lalu, terdapat lubang besar pada bahagian jambatan yang boleh membahayakan pengunjung sekiranya tersilap langkah.

“Memang cantik, tetapi saya ingat 10 tahun lepas datang sampai ke hujung sana memang ada lubang-lubang besar yang mungkin tidak selamat untuk budak-budak atau orang dewasa sekalipun.

“Kalau tersilap memang boleh jatuh ke sungai. Jadi kalau boleh lubang itu ditutup, terutama untuk keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Ishak berdepan kerugian selepas kehadiran pelancong merosot akibat penutupan sepenuhnya akses ke Jambatan Victoria di sini susulan insiden berkenaan.

Bagi pelancong dari Melaka, Siti Hazar Mohd Karim, 43, penutupan Jambatan Victoria menyebabkan sedikit kekecewaan kerana lokasi itu menjadi antara tarikan yang sering dilihatnya menerusi media sosial.

Katanya, dia bersama tujuh ahli keluarga berada di Perak selama tiga hari dua malam sempena cuti sekolah dan merancang mengunjungi beberapa lokasi bersejarah termasuk Jambatan Victoria.

“Bila sampai tak dapat naik, kecewa sikitlah sebab benda ini sejarah dan selalu viral di TikTok. Kita tengok kalau datang mesti tunjuk sini.

“Bila dah tak boleh masuk, kita dapat bergambar di luar sahaja. Kita faham perkara itu tidak diingini dan sudah berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Baru Karai, Leu Poh Kin berkata, pihaknya masih belum mendapat kepastian berhubung tempoh penutupan Jambatan Victoria susulan kejadian tersebut.

Siti Hazar (empat dari kiri) bersama keluarga dari Melaka sedikit kecewa hanya dapat bergambar di bahagian bawah Jambatan Victoria susulan penutupan pusat tumpuan pelancong tersebut.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus peniaga di kawasan berkenaan terjejas akibat penutupan itu, namun keselamatan pengunjung perlu diutamakan.

Katanya, pihak berkaitan perlu memberikan penjelasan mengenai tempoh penutupan supaya maklumat tepat dapat disampaikan kepada pelancong dan peniaga.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui maut di bawah Jambatan Victoria di Enggor di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Abdul Rafee Abdul Halim disahkan meninggal dunia Hospital Kuala Kangsar.