SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa agar mengarahkan Ketua Setiausaha Negara mendedahkan dengan segera kertas siasatan mengenai skandal pemilikan saham oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang telah pun dibentangkan di Jemaah Menteri.
Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ia tidak sepatutnya diperam memandangkan kes itu hanya bersifat disiplin mengikut peraturan penjawat awam.
Menurutnya, tambahan pula jika pendedahan laporan tersebut boleh membantu menepis serangan-serangan politik yang mencemarkan usaha SPRM menyiasat kes bersabit Tabung Haji.
"Saya mengikuti perkembangan siasatan SPRM berkenaan Tabung Haji, termasuk siri penahanan yang melibatkan seorang bekas menteri semalam.
"Dalam tempoh dua minggu yang lepas, tokoh-tokoh pemimpin dari Barisan Nasional (BN) telah direman, ditahan atau didakwa.
"Saya mengalu-alukan usaha berterusan pihak berwajib untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana ahli politik atau penjawat awam yang ada bukti telah melakukan pecah amanah," katanya menerusi Threads pada Rabu.
Tambah Rafizi, pada masa yang sama, kredibiliti institusi seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain juga adalah sangat penting supaya tindakan-tindakan ini tidak dilihat bermotif politik.
"Dalam suasana politik sekarang, akibat pertelingkahan di antara Pakatan Harapan (PH) dan BN, saya khuatir usaha SPRM dan agensi penguat kuasa lain untuk membanteras rasuah dikecamukkan dengan tuduhan bermotif politik," ujarnya.