KUALA TERENGGANU – Selepas kali terakhir dilihat pada 2017, gergasi laut yang semakin pupus, iaitu penyu belimbing (Dermochelys coriacea) kembali mendarat dan bertelur di pesisir pantai Marang pada Selasa lalu.
Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kemunculan semula spesies penyu terbesar di dunia itu dikenal pasti oleh kakitangan jabatan berkenaan menerusi analisis jejak merangkak fizikal bersaiz besar, iaitu selebar 2.1 meter di atas pasir.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi berkenaan turut membawa kepada penemuan sarang telur spesies reptilia laut tersebut.
"Penemuan sarang itu mengandungi telur penyu yang dianggarkan berdiameter 52 milimeter (mm).
"Sebanyak 44 biji telur telah selamat dialihkan ke hatcheri Rantau Abang dan dijangka menetas dalam tempoh tujuh hingga sembilan minggu lagi," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Kehadiran penyu belimbing di pantai Terengganu mula disedari pada awal 1950-an, namun rekod pertama oleh kerajaan negeri hanya bermula pada 1967.
Sejak itu, industri pelancongan di Terengganu, khususnya Rantau Abang di Dungun berkembang pesat dengan kehadiran pelancong dari seluruh dunia ke lokasi tersebut untuk menyaksikan pendaratan penyu belimbing.
Rekod tertinggi yang pernah dicatatkan oleh penyelidik tempatan ialah sekitar 10,000 sarang pada akhir 1960-an dengan anggaran penghasilan sebanyak 853,000 biji telur.
Kajian yang pernah dijalankan penyelidik tempatan menerusi temu bual dengan pemajak telur berlesen pada 1978 pula merekodkan penemuan 3,500 sarang membabitkan 294,000 telur pada satu-satu masa ketika itu.
Bagaimanapun, bermula 1978 hingga 1980, jumlah sarang yang direkodkan mula menurun pada kadar purata 469 sarang atau 31 peratus setahun dan berdasarkan analisis trend pendaratan, kepupusan spesies itu diramalkan berlaku seawal 2003.
Dalam pada itu, Pang berkata, kemunculan semula 'Raja Penyu' itu membawa sinar harapan baharu sekali gus membuktikan pantai di negeri ini kekal sebagai habitat selamat dan destinasi pendaratan pilihan spesies marin berkenaan.
Selain itu, jelas beliau, peristiwa bersejarah itu turut menjadi peringatan kepada semua pihak untuk sentiasa menjaga kebersihan pantai dan laut demi kelangsungan spesies warisan negara yang amat bernilai tersebut.
"Ini adalah peringatan buat kita semua untuk sentiasa menjaga kebersihan pantai dan laut demi kelangsungan spesies warisan negara yang amat bernilai ini.
"Mari kita bersama-sama mendoakan agar kesemua telur ini dapat menetas dengan selamat dan anak-anak penyu belimbing ini mampu berenang kembali ke samudera luas," ujarnya.
Sebelum ini, dunia pemuliharaan marin negara turut merekodkan penemuan penting apabila penyu kembali bertelur di Pantai Pachakan, Pasir Puteh, Kelantan selepas 30 tahun tanpa sebarang rekod pendaratan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Ismail Ibrahim memberitahu, penemuan ratusan anak penyu spesies agar yang baru menetas itu disedari penduduk kampung berhampiran sebuah kedai makan yang terletak kira-kira 20 meter dari gigi air pantai berkenaan.
INFO
- Penyu terbesar di dunia dan boleh membesar sehingga lebih dua meter panjang.
- Berat boleh mencecah ratusan kilogram.
- Berbeza daripada penyu lain kerana tidak mempunyai cangkerang keras, sebaliknya permukaan badannya dilitupi kulit tebal seperti buah belimbing.
- Makanan utamanya ialah obor-obor.
- Mampu berenang merentasi lautan pada jarak yang sangat jauh.
- Pernah terkenal mendarat dan bertelur di Rantau Abang, Terengganu.