[VIDEO] Kontroversi Madu atau Racun: Produksi, platform penstriman diarah beri penjelasan - Fahmi

Iklan

PUTRAJAYA - Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) bersama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), akan mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan platform penstriman iQIYI pada Rabu bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh berhubung kandungan drama"Madu atau Racun” yang mencetuskan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), turut dijangka mengambil bahagian dalam pertemuan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berhubung penayangan drama berkenaan di platform iQIYI, yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

"Walaupun kandungan drama dan filem yang disiarkan melalui platform Over-The-Top (OTT) pada masa ini tidak tertakluk secara langsung kepada pemantauan pelesenan FINAS, kementerian telah mengarahkan CMCF di bawah MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) bersama dengan FINAS, untuk mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan pihak iQIYI pada petang ini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan drama yang dimaksudkan,” katanya.

Iklan

Fahmi berkata demikian pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di Menara Komunikasi di sini pada Rabu.

Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi, Putrajaya pada Rabu.

Iklan

Menteri Komunikasi itu berkata, FINAS mempunyai bidang kuasa kawal selia berkaitan aktiviti perfileman dan pawagam, manakala MCMC mempunyai bidang kuasa berkaitan penyiaran televisyen dan komunikasi.

Beliau berkata, platform OTT pada masa ini, masih belum tertakluk sepenuhnya kepada kerangka pelesenan yang sama seperti penyiaran konvensional.

Bagaimanapun, Fahmi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak penerbitan drama dan filem yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum dalam karya mereka.

"Kebebasan berkarya perlu disertai dengan tanggungjawab untuk menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya, yang menjadi asas kepada perpaduan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, sekiranya hasil penilaian dan siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana garis panduan, peraturan atau ketetapan yang sedang berkuat kuasa.

Fahmi berkata, FINAS, mewakili pihak-pihak yang terlibat akan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas pertemuan dan mesyuarat yang dijadualkan petang ini, berhubung hasil perbincangan serta tindakan susulan yang akan diambil.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan menerusi satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya menolak penayangan drama Madu atau Racun tersebut dan memaklumkan bahawa pihaknya kesal dengan tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Drama Madu atau Racun ialah sebuah siri drama televisyen terbitan MIG Production Sdn Bhd.

Drama 12 episod itu, mula ditayangkan di platform penstriman iQIYI pada 14 Ogos 2026. - Bernama