Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum - Fahmi

Iklan
Fahmi bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak penerbitan drama dan filem yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum dalam karya mereka.

Tegas Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, kebebasan berkarya perlu disertai tanggungjawab untuk menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara.

Iklan
Iklan

“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berhubung penayangan drama ‘Madu atau Racun’ di platform penstriman iQIYI yang telah menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini pada Rabu.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi sudah mengarahkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan iQIYI.

Iklan

Katanya, pertemuan itu diadakan bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh berhubung kandungan drama berkenaan.

Fahmi berkata, FINAS mempunyai bidang kuasa kawal selia berkaitan aktiviti perfileman dan pawagam, manakala MCMC mempunyai bidang kuasa kawal selia berkaitan penyiaran televisyen dan komunikasi.

Iklan

“Pada masa ini, platform penstriman Over-The-Top (OTT) masih belum tertakluk sepenuhnya kepada kerangka pelesenan yang sama seperti penyiaran konvensional,” katanya.

Menurutnya, kebebasan berkarya perlu disertai tanggungjawab untuk menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya hasil penilaian dan siasatan mendapati terdapat pelanggaran terhadap mana-mana garis panduan, peraturan atau ketetapan yang berkuat kuasa.

Katanya, pihak berkaitan akan meneliti perkara itu menerusi pertemuan yang dijadualkan bersama pihak produksi dan iQIYI.

“Selepas pertemuan dan mesyuarat yang dijadualkan pada petang ini, FINAS, mewakili pihak-pihak yang terlibat, akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung hasil perbincangan serta tindakan susulan yang akan diambil,” katanya.

Terdahulu, Drama Madu atau Racun yang disiarkan menerusi platform penstriman iQIYI mencetuskan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat susulan kandungan yang didakwa menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.

Antara perkara yang dipertikaikan ialah penggambaran watak Nikita yang mempunyai kecenderungan terhadap kaum sejenis, selain elemen berkaitan hubungan dan institusi kekeluargaan yang mendapat perhatian serta kritikan penonton.

Ia mendorong kritikan pelbagai pihak agar kerajaan menilai semula kandungan drama berkenaan.