PEKAN- Kira-kira 60,000 pengguna dalam kalangan penduduk di sekitar daerah ini kini kembali menikmati manfaat bekalan air berfluorida menerusi pelaksanaan semula Program Pemfluoridaan Bekalan Air Awam di Loji Rawatan Air (LRA) Ganchong di sini.
LRA Ganchong, loji pertama di negeri ini melaksanakan semula program itu selepas ianya dihentikan sepenuhnya pada 2020.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, program berkenaan mendapat kelulusan kerajaan negeri menerusi Belanjawan Pahang 2023 dengan peruntukan RM1 juta bagi membolehkan usaha pemfluoridaan bekalan air awam disambung semula.
Menurutnya, program berkenaan pernah dilaksanakan ketika pengurusan bekalan air masih di bawah Jabatan Bekalan Air (JBA), namun dihentikan secara berperingkat mulai 2012 susulan proses penswastaan pengurusan loji dan bekalan air.
“Pelaksanaan semula program ini satu usaha penting untuk memastikan manfaat pencegahan penyakit pergigian dapat dinikmati secara lebih menyeluruh
"Kelebihan pemfluoridaan bekalan air awam, manfaatnya dapat dinikmati tanpa mengira lokasi termasuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang menerima bekalan air daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Pemfluoridaan Semula Bekalan Air Awam di LRA Ganchong, di sini pada Selasa.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Fauziah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP),Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Razali berkata, pendekatan itu dapat membantu golongan yang berdepan kekangan ekonomi, jarak dan akses kepada perkhidmatan pergigian kerana penggunaan air berfluorida setiap hari membantu mencegah kerosakan gigi.
Selain itu katanya, bekalan air bukan sekadar keperluan asas, sebaliknya aset strategik yang menjadi tunjang kepada pembangunan negeri termasuk sektor ekonomi, industri, pertanian, pelancongan dan kesejahteraan masyarakat.
“Setiap titisan air yang mengalir ke rumah rakyat bukan sekadar memenuhi keperluan harian, malah melambangkan iltizam kerajaan negeri memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, PAIP Berhad serta semua agensi yang terlibat.
"Kerjasama antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi pelaksana program tersebut bukti pendekatan 'whole-of-government' mampu memberi impak langsung kepada rakyat," katanya.