KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan mangsa dalam kes kematian empat sekeluarga di Desa Parkcity di sini pada 27 Ogos lalu, tidak pernah membuat laporan polis berhubung kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi ‘love scam’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil semakan mendapati tiada laporan polis pernah dibuat mangsa berkaitan perkara berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan berhubung perkara ini masih sedang dijalankan oleh pihak polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, sebarang maklumat berkaitan hasil atau perkembangan terperinci siasatan tidak dapat didedahkan buat masa ini bagi memastikan proses siasatan tidak terjejas serta menjaga kepentingan siasatan yang sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Fadil menjelaskan perkara itu selepas diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan berkaitan dakwaan unsur pelaburan dan ‘love scam’ yang dikesan dalam kes kematian empat sekeluarga itu.
Pada 27 Ogos lalu, polis menerima laporan pada jam 3.32 petang berhubung seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun ditemui mati di bangunan kediaman terbabit.
Menurutnya, pihak polis telah ke rumah mangsa dan berjaya membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan pihak bomba.
Seorang wanita berumur 47 tahun dan merupakan isteri mangsa, dua kanak-kanak masing-masing perempuan dan lelaki berumur sembilan dan tujuh tahun merupakan anak kepada pasangan tersebut.
Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Fadil dilaporkan berkata, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta mati mengejut (SDR).
Sebelum ini, polis memaklumkan satu nota dipercayai ditinggalkan lelaki terbabit ditemui di atas meja makan di kediaman berkenaan, yang antara lain menyentuh dakwaan kerugian dan hutang berjumlah RM260,000 berkaitan ‘love scam’.