KUALA LUMPUR - Enam kawasan di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya setakat 5 petang ini, dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 377.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), lima lagi kawasan yang mencatat bacaan IPU tahap berbahaya ialah Kuching (351), Sarikei (339), Sibu (325), Samarahan (323) dan Sri Aman (304).
Tiga kawasan mencatat bacaan tahap sangat tidak sihat, iaitu Bintulu (250), Mukah (243) dan Samalaju (230) manakala 11 pada tahap tidak sihat dengan stesen pemantauan di Institut Latihan Perindustrian Miri merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 191 diikuti Miri (186), Kapit (186), Kota Kinabalu (177), Limbang (173) serta Labuan (170).
Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah Kimanis (166), Keningau (165), Politeknik Kota Kinabalu (159) dan Tawau (153) di Sabah manakala Johan Setia di Selangor (156).
Sementara itu, 48 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah berbahaya. - Bernama