SUNGAI PETANI – Seorang wanita mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pilihan mengambil bahagian dalam transaksi bertujuan memberikan kawalan tetap terhadap seorang bayi dengan balasan wang sebanyak RM17,300, bulan lalu.
Tertuduh, S Kelsey, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim sebaik sahaja pertuduhan dibaca terhadapnya.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukum.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengambil bahagian dalam transaksi bertujuan memberikan keseluruhannya secara tetap kawalan terhadap bayi terbabit yang kini berusia 12 hari dengan balasan wang sebanyak RM17,300.
Perbuatan itu dilakukan antara 18 Ogos hingga 21 Ogos lalu, bertempat di sebuah hospital swasta di sini.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana boleh dihukum bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhamad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili Peguam RSN Rayer.
Terdahulu, Rayer memohon tarikh baharu bagi mendapatkan fakta dan hukuman selain meminta jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya mempunyai kerja sampingan serta perlu menanggung ahli keluarga.
Dia juga memohon diberi ruang kepada anak guam berikutan keadaannya yang lesu disebabkan masih belum sembuh sepenuhnya susulan penahanan dibuat ke atasnya bagi siasatan kes berkenaan, tiga hari selepas melahirkan anak, bulan lalu.
Hakim Nabisha membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak ganggu saksi pendakwaan.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki kad pengenalan milik orang lain pada 21 Ogos lalu, di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Tertuduh bagaimanapun dibenarkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin sementara hukuman dijatuhkan 5 Oktober nanti.
Bagi pertuduhan kes tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-dua sekali.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam individu tempatan termasuk wanita disyaki berdaftar menggunakan dokumen pengenalan diri individu lain semasa melahirkan bayi di sebuah hospital swasta di sini bulan lalu.