Kerja pemuliharaan Tugu Negara bermula minggu depan

Iklan
Kerja pemuliharaan Tugu Negara yang telah berdiri hampir 60 tahun itu dijangka bermula minggu depan - Foto fail Bernama

PUTRAJAYA – Kerja pemuliharaan Tugu Negara yang telah berdiri hampir 60 tahun dijangka bermula minggu depan dengan tumpuan awal diberikan kepada tinjauan terperinci, pemeriksaan permukaan dan ujian integriti struktur monumen kebangsaan itu.

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Profesor Dr Arham Abdullah berkata, pemeriksaan awal penting bagi menentukan skop kerja pemuliharaan yang diperlukan terhadap Tugu Negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak yang terlibat perlu menjalankan tinjauan keadaan semasa monumen itu sebelum kerja pemuliharaan dapat dilaksanakan.

“Biasanya, kami perlu memastikan integriti struktur masih berada dalam keadaan baik selain melaksanakan pemulihan pada bahagian permukaan,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Arham berkata, pihaknya menyasarkan kerja pemulihan dan pemeliharaan Tugu Negara dapat disiapkan dalam tempoh 12 bulan, dengan jangkaan projek itu selesai sepenuhnya sebelum 31 Ogos tahun depan.

Menurut beliau, UMK akan berperanan sebagai rakan penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam projek berkenaan dengan memberi tumpuan kepada aspek dokumentasi, penyelidikan serta pemindahan pengetahuan, khususnya dalam bidang pemuliharaan dan pemulihan warisan.

Iklan

Katanya, kepakaran yang dibawa oleh pakar pemuliharaan dari Amerika Syarikat (AS) akan dikongsi dengan ahli akademik dan pelajar tempatan supaya manfaatnya dapat diteruskan selepas projek berkenaan selesai.

“Kami mahu memastikan kepakaran yang dikongsi oleh pakar pemuliharaan dari Amerika Syarikat tidak hanya kekal dalam projek ini, sebaliknya dipindahkan kepada ahli akademik dan pelajar kami,” katanya.

Projek itu turut menyediakan peluang kepada pelajar dan warga akademik untuk menyertai bengkel, sesi perkongsian ilmu bersama masyarakat, lawatan akademik serta penerbitan ilmiah.

Julai lalu, AS mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi projek restorasi Tugu Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia tahun depan.

Peruntukan itu akan disalurkan kepada UMK menerusi Dana Duta bagi Pemeliharaan Warisan Budaya (Ambassadors Fund for Cultural Preservation, AFCP).

Kuasa Usaha Kedutaan AS ke Malaysia, David H. Gamble Jr berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen AS dalam memelihara warisan budaya yang turut mempunyai nilai sejarah kepada hubungan kedua-dua negara.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan, Cate Dillon berkata, negara itu membantu usaha pemuliharaan Tugu Negara menerusi pelaburan kira-kira RM1 juta di bawah AFCP.

Menurut beliau, Tugu Negara mempunyai hubungan sejarah yang unik antara Malaysia dan AS kerana ia dihasilkan oleh pengarca Amerika Syarikat serta veteran Tentera Laut AS semasa Perang Dunia Kedua, Felix de Weldon.

Dillon berkata, pembinaan Tugu Negara juga mempunyai kaitan dengan lawatan rasmi pertama Malaysia ke AS pada 1960.

“Pertemuan antara pemimpin negara kita ketika itu membawa kepada pembinaan sebuah monumen yang terus berdiri sehingga hari ini.

“Dengan pelaburan baharu ini, kami membantu memastikan ia akan terus berdiri untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut Dillon, pakar pemuliharaan AS akan bekerjasama dengan pakar tempatan dalam pelaksanaan projek tersebut bagi membolehkan kepakaran dan amalan terbaik dalam pemuliharaan warisan dikongsi.

Katanya, matlamat kerjasama itu bukan sekadar memastikan Tugu Negara terus dipelihara, malah membolehkan Malaysia membangunkan keupayaan sendiri dalam kerja pemeliharaan dan penyelenggaraan monumen pada masa hadapan.

“Kami mahu berkongsi amalan terbaik supaya mereka dapat mempelajarinya dan terus memastikan monumen itu dipelihara,” katanya.

Tugu Negara yang dibina pada tahun 1966 merupakan antara mercu tanda utama negara dan projek pemuliharaan itu dilaksanakan bagi memastikan monumen berkenaan terus terpelihara untuk generasi akan datang.