KUALA LUMPUR - Saman fitnah difailkan jurulatih Syed Mohammad Murad Syed Naseem atau lebih dikenali sebagai Murad 'Baddestcoach' Zaidi terhadap pempengaruh media sosial Caprice diteruskan dengan perbicaraan penuh selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili Murad Zaidi berkata, kes itu tidak dapat diselesaikan melalui proses mediasi berikutan anak guamnya tidak bersetuju dengan syarat penyelesaian yang dicadangkan.
Beliau berkata, prosiding mediasi yang berlangsung selama hampir empat jam pada 31 Julai dihadiri anak guamnya serta Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.
"Pengurusan kes seterusnya di hadapan Hakim Kan Weng Hin ditetapkan pada 7 September bagi memaklumkan mahkamah tentang perkembangan pemfailan dokumen kausa,” katanya.
Murad Zaidi memfailkan saman fitnah pada 4 Ogos lalu dengan mendakwa defendan telah memuat naik hantaran palsu serta berniat jahat yang menggambarkan beliau terbabit aktiviti jenayah dan jenayah terancang.
Akibat hantaran yang dimuat naik itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya telah tercemar, dan menyatakan defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.
Pada 8 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi merekodkan perintah persetujuan yang mengarahkan Caprice menurunkan dan menarik balik serta-merta sembilan kenyataan fitnah terhadap Murad Zaidi yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Perintah itu direkodkan selepas Caprice sebagai defendan bersetuju untuk patuh dan berjanji tidak menerbitkan semula, mengedar semula atau menyebarkan mana-mana kenyataan itu dalam sebarang bentuk.
Menurut draf perintah persetujuan, pempengaruh itu juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau representasi serupa terhadap Murad Zaidi.
Berikutan itu, Murad Zaidi menarik balik permohonan injunksi interimnya terhadap defendan tanpa perintah mengenai kos. Bagaimanapun, saman fitnah utama terhadap Caprice diteruskan.
Sementara itu, Murad Zaidi dalam kenyataan berkata mahu kes itu diteruskan dengan perbicaraan penuh bagi membersihkan nama serta memulihkan reputasinya yang didakwa terjejas teruk dan berharap keadilan dapat ditegakkan. - Bernama