GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) mendapati kejadian pergaduhan membabitkan dua ekor anjing di tempat awam di Pearl Hill, Tanjung Bungah merupakan pergaduhan antara haiwan.
JPVPP berkata, perkara itu dikenal pasti hasil penelitian terhadap aduan serta rakaman video yang dikemukakan berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, semakan terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] mendapati tiada peruntukan jelas di bawah akta berkenaan yang memperuntukkan kesalahan terhadap pemilik susulan kejadian pergaduhan antara haiwan atau kerana pemilik tidak meleraikan pergaduhan tersebut.
“Bagaimanapun, perkara berkaitan tindakan menggalak atau mendorong haiwan untuk menyerang boleh dilihat di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].
“Peruntukan tersebut menyatakan bahawa mana-mana orang yang, tanpa alasan yang sah di sisi undang-undang, menggalak atau mendorong mana-mana anjing atau haiwan lain untuk menyerang, membimbangkan atau menakutkan mana-mana orang atau haiwan boleh dikenakan denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah akta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, JPVPP menasihatkan orang awam supaya membuat laporan kepada pihak polis sekiranya terdapat dakwaan atau bukti seseorang menggalak atau mendorong haiwan untuk menyerang.
Katanya, laporan berkenaan membolehkan perkara tersebut disiasat dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang sentiasa mengambil serius setiap aduan berkaitan kebajikan haiwan dan akan mengambil tindakan berdasarkan fakta, bukti serta peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang lelaki membiarkan anjing peliharaannya bergaduh dengan seekor anjing yang dipercayai liar.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang kebanyakannya mengecam pemilik anjing berkenaan serta individu yang merakam kejadian tersebut.