KUALA BERANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal RXZ ditunggangnya terlibat kemalangan di Kilometer 406.3 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Ajil-Telemong pada 11.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku semasa mangsa, Mohd Yusri Rusdi, 38, dari Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu dalam perjalanan pulang dari Cherating, Pahang bersama-sama rakannya.
Iklan
Iklan
"Kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal mangsa dari arah Ajil ke Telemong bergesel dengan motosikal RXZ rakannya menyebabkan mereka terjatuh.
"Sebuah kereta yang dipandu rakan mangsa dari arah sama kemudiannya melanggar mangsa sehingga tercampak ke kawasan longkang di kiri jalan manakala seorang lagi penunggang motosikal mengalami luka dan patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan penunggang motosikal yang cedera juga dirawat di hospital sama. - Bernama